Fokus nasib rakyat, bukan pujuk pembangkang

Hasnul Zulkarnain menyuarakan luahan hati kepada kepimpinan Kerajaan PH terhadap senario kemasukan ahli parti pembangkang ke dalam PH melalui laman sosial Facebooknya.
Hasnul Zulkarnain menyuarakan luahan hati kepada kepimpinan Kerajaan PH terhadap senario kemasukan ahli parti pembangkang ke dalam PH melalui laman sosial Facebooknya.
A
A
A

IPOH - Kerajaan PH diminta tidak hilang fokus dalam memenuhi keluhan rakyat berbanding kecenderungan memujuk kepimpinan wakil rakyat pembangkang menyertai parti-parti dalam pakatan itu ketika ini.

Ketua Pemuda PH Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, pihaknya turut memohon kepimpinan kerajaan PH lebih memikirkan nasib rakyat marhaen berbanding usaha memposisikan bekas pemimpin Umno yang sudah lama hidup selesa.

Menurutnya, pimpinan Kerajaan PH tidak perlu hilang fokus dengan memberi respons kepada isu pimpinan parti pembangkang keluar parti kerana berita sebegini tiada nilai kepada rakyat.

"Malahan rakyat kini sedang menilai sejauh mana Kerajaan PH mampu menangani pelbagai isu termasuk kos sara hidup rakyat di kampung, banyak mana bantuan persekolahan diberikan serta isu hubungan antara kaum.

"Rata-rata (pemimpin Umno) yang mencari tempat teduhan baru, rumah teduhan mereka sahaja boleh menempatkan tujuh keturunan(ahli keluarga mereka). Belum masuk lagi teduhan kereta yang menjalar," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Hasnul Zulkarnain berkata, tindakan kepimpinan kerajaan PH yang lebih fokus menarik bekas wakil rakyat Umno menyertai parti mereka sudah tentu akan memberi kekecewaan dalam kalangan pejuang asal parti dalam PH yang membuktikan kesetiaan kepada parti selama ini.

"Oleh itu, kebijaksanaan pimpinan PH perlu diterjemahkan ke peringkat bawah supaya parti terus kukuh tanpa ada sebarang ganggu gugat dengan kemasukan ahli-ahli daripada parti pembangkang," katanya.

Artikel Berkaitan: