'Siapa pun pimpin UMNO tak ada masalah'

Tuan Ibrahim - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Tuan Ibrahim - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerjasama Pas-UMNO tidak akan terjejas dengan kembalinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerajui kepimpinan UMNO, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata demikian bersandarkan keyakinan bahawa persetujuan muafakat politik antara Pas-UMNO ini bukan melibatkan individu sebaliknya jalinan kerjasama antara dua parti.

“Sedikit pun tak ada masalah. Itu masalah dalaman UMNO dan bagi saya sesiapapun kemudi UMNO tak ada masalah, sebab persetujuan muafakat politik ini bukan kerana individu tapi parti dengan parti.

ARTIKEL BERKAITAN: Terserah ahli terima atau tidak: Ahmad Zahid

“Siapa pun pimpin UMNO, saya fikir tak ada masalah... Kita boleh bincang (jika ada masalah),” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap kepulangan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO tidak akan mengundang perbalahan dalam parti.

Katanya, dari segi Perlembagaan UMNO, Ahmad Zahid memang berhak untuk kembali memimpin parti.

“Keputusan juga telah dibuat dan penting untuk parti melihat kepada kesatuan dan kedudukan parti itu sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Jangan perkembangan terkini membuka ruang yang lain untuk kita bertelagah sesama kita,” katanya.

Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO mengharapkan parti itu akan tetap utuh dengan kepulangan Ahmad Zahid.

"Saya mahu melihat parti kukuh, kita sekarang berada dalam kedudukan yang baik berbanding tahun lalu," tambahnya lagi.

Ahmad Zahid semalam mengumumkan kembali menyambung tugas sebagai Presiden UMNO setelah bercuti kira-kira enam bulan.

Beliau mengumumkan bercuti daripada menjalankan tugas pada 18 Disember lalu ketika desakan agar beliau meletakkan jawatan.

Ia susulan tindakan beberapa Ahli Parlimen UMNO keluar parti serta kritikan bahawa UMNO tiada hala tuju di bawah pimpinannya.