Elly Mazlein tak akan control ayu

Elly Mazlein
Elly Mazlein
A
A
A

MEMULAKAN kerjaya seninya dalam bidang nyanyian dan kemudian lakonan, Elly Mazlein mengakui tidak pernah menyangka dia kini semakin dikenali dalam bidang komedi.

Bukan sahaja untuk lakonan tetapi juga dalam beberapa program TV dan radio sehingga ada yang melihat dia sebagai bintang komedi.

Siapa sangka, di sebalik penampilan Elly Mazlein yang sopan dan manja itu, dia sebenarnya mempunyai sisi komedi yang mampu menghiburkan ramai orang di sekelilingnya.

“Saya sebenarnya tidak menyangka ada sisi komedi dalam diri saya selama ini kerana umum mengenali saya sebagai seorang yang pemalu.

“Semuanya bermula selepas penampilan saya dalam Anugerah Skrin tahun lalu menerusi gandingan dengan pelawak Shuk yang kemudiannya berlarutan sehingga ke hari ini.

“Mungkin orang ramai jarang melihat saya buat lawak dan bergurau senda seperti itu, jadi mereka mahu tengok lagi dan lagi menyebabkan pihak produksi mula memberikan peluang itu,” katanya.

Elly yang turut diberikan peluang mengacarakan program Bintang Bersama Bintang 2019 baru-baru ini, juga mengakui kini banyak mendapat tawaran menjayakan watak komedi dalam pelbagai drama dan telefilem.

“Bila peluang sudah datang dan orang memberi kepercayaan, saya cuba berikan yang terbaik. Walaupun pada mulanya rasa macam tak percaya boleh buat tetapi lama-kelamaan ia jadi seronok dan mahu terus buat.

Artikel Berkaitan:

“Saya sebenarnya nak tengok juga sejauh mana saya boleh pergi dalam bidang baharu ini kerana selama ini hanya menumpukan perhatian kepada nyanyian dan lakonan sahaja.

“Perjalanan seni yang cukup menarik buat saya kerana berpeluang untuk mencuba pelbagai bidang secara berperingkat mengikut fasa rezeki yang telah ditentukan ALLAH kepada saya,” ujarnya.

Terkini, penyanyi Usah Ditambah Bara Tersimpan itu turut menjadi salah seorang peserta program Muzikal Lawak Superstar menerusi kumpulan Libra yang menyaksikan gandingannya dengan Bell Ngasri dan Rahim Sepahtu.

Program komedi terbaharu yang disiarkan di Astro Warna pada setiap Jumaat, jam 9 malam itu bakal menyaksikan 14 kumpulan beraksi secara live menerusi sketsa komedi dan nyanyian menerusi persembahan berbentuk muzikal.

No Image Caption

“Memang nervous sangat nak beraksi dalam program ini. Bukan kerana program ini disiarkan secara langsung tetapi kerana ia merupakan sebuah pertandingan dan dalam genre komedi bersama barisan pelawak yang semuanya hebat.

“Ada yang tanya adakah nanti saya akan buat lawak sambil control ayu menerusi penampilan saya yang memang semua sudah maklum sebelum ini.

“Jawapannya tidak, saya akan buat apa sahaja mengikut tema persembahan asalkan ia tidak melampau batas. Tak ada nak control ayu atau cover penampilan di pentas kerana saya faham tentang konsep program komedi,” akui Elly yang ditemui di majlis sidang media program ini di Hard Rock Café, Kuala Lumpur, pada Selasa lalu.

Bagaimanapun pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 39, menafikan gelaran Kak Lina Pom Pom yang kini semakin sinonim dengan dirinya sebagai penjenamaannya dalam bidang komedi.

“Gelaran Kak Lina Pom Pom tu wujud secara tidak sengaja ketika saya menyertai program Gegar Vaganza dan ia terus lekat sehingga ke hari ini.

“Memang lucu jugalah dengan panggilan tu tapi peminat suka. Malah ramai yang panggilan saya dengan nama itu berbanding Elly Mazlein.

“Nama itu bukan pengenalan saya bidang komedi atau sebagainya tetapi saya selesa kerana ia menampakkan kemesraan saya dan peminat,” ujarnya.

Kahwin tahun depan

Dalam perkembangan lain, Elly yang juga berstatus ibu tunggal ini juga mendedahkan bakal menamatkan zaman solonya pada tahun depan.

Tidak mahu berahsia tentang hubungan cintanya dengan seorang lelaki lewat 20-an, Elly sering berkongsi foto teman lelakinya itu biarpun masih belum bersedia mendedahkan wajah penuh lelaki itu.

“Alhamdulillah, saya mengharapkan doa yang baik-baik daripada semua orang agar impian kami untuk disatukan tercapai nanti. Kami belum ada ketetapan tarikhnya lagi, tetapi insya-ALLAH pada tahun depan," katanya.