Tanah Rizab Melayu Johor bertambah hingga 557,518 hektar

Dr Sahruddin Jamal
Dr Sahruddin Jamal
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor amat komited di dalam soal memelihara kepentingan Bumiputera walaupun kini pentadbiran negeri adalah di bawah Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kerajaan negeri terus berusaha untuk memastikan Tanah Rizab Melayu terpelihara.

“Kerana perkara ini amat penting dalam menjaga hak orang Melayu, sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam bidang hartanah dan perumahan,” katanya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Persidangan DUN Johor Ke-14 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhamad Said Jonit (PH-Mahkota) mengenai jumlah terkini Tanah Rizab Melayu di bawah Kerajaan Johor pimpinan PH.

Dr Sahruddin (PH-Bukit Kepong) berkata, sehingga April lalu, pertambahan jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu sejak PH meneraju kepimpinan Johor adalah sebanyak 230.24 hektar.

Menurutnya, angka itu menjadikan luas jumlah keseluruhan keluasan Tanah Rizab Melayu adalah 557,518 hektar berbanding 557,287 hektar pada Disember 2018.

“Daerah Kulai ialah daerah yang mencatatkan peningkatan keluasan tanah rizab Melayu tertinggi iaitu 75.64 hektar, diikuti Kota Tinggi (49.354 hektar) dan Pengerang (34.54 hektar).

“Walaupun negeri Johor adalah pilihan pelabur dalam dan luar negara tetapi kerajaan negeri sedar akan kepentingan untuk memelihara dan memastikan rizab Melayu ini terus menjadi keutamaan kerajaan negeri,” katanya.

Artikel Berkaitan: