21 pendaki tawan Gunung Syue Taiwan

Sebahagian daripada 21 pendaki program Eksplorasi Gunung Syue, Taiwan yang berjaya sampai ke puncak berketinggian 3,886 meter.
Sebahagian daripada 21 pendaki program Eksplorasi Gunung Syue, Taiwan yang berjaya sampai ke puncak berketinggian 3,886 meter.
A
A
A

TAIWAN - Misi menawan puncak Gunung Syue, di sini berjaya dilaksanakan 21 peserta eksplorasi semalam.

Kesemua mereka sampai di puncak gunung kedua tertinggi Taiwan, yang berketinggian 3,886 meter dari paras laut itu secara berperingkat, dengan peserta pertama tiba sekitar 10 pagi.

Eksplorasi anjuran Kelab Media Pahang itu turut mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan 15 daripada mereka merupakan pengamal media.

Wakil JBPM yang mengambil bahagian ialah Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin; Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohamad; Ketua Zon 1 Pahang, Nor Arifin Kamari; Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Pekan, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud; Ketua Caw Pengurusan Logistik Roslan Mat Din dan Ketua Unit Special Tektikal Operation Rescue Malaysia (STORM) Pahang, Muhamad Haziq Hazmi.

Turut serta wartawan Sinar Harian, Nor Khalilah Gusti Hassan.

Peserta paling tua, jurugambar TV3, Bazaie Ahmad, 58, tertidur di trek untuk berehat.
Peserta paling tua, jurugambar TV3, Bazaie Ahmad, 58, tertidur di trek untuk berehat.

Presiden kelab, Datuk Nik Naizi Husin berkata, pelbagai cabaran seperti laluan mencabar, berbatu dan banjir lumpur akibat hujan lebat namun tidak sedikitpun mematahkan semangat peserta untuk mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Syue.

Menurutnya, eksplorasi yang mengambil masa selama tiga hari dua malam itu memerlukan peserta bermalam di dua hentian, berupa kabin dengan kemudahan yang amat terhad.

Artikel Berkaitan:

"Segala keperluan memasak dan peralatan dibuat sendiri oleh para peserta secara berkumpulan. Suhu di kabin sekitar 16 darjah selsius namun jatuh sehingga 2 darjah selsius ketika hujan.

"Sewaktu pendakian, ada peserta yang kekejangan, muntah dan mengalami penyakit gunung, Acute Mountain Sickness (AMS) yang mengakibatkan peserta sakit kepala, pening, mual, mata berpinar, sesak nafas dan mengantuk yang boleh membahayakan situasi ketika berjalan di lereng gunung. Situasi AMS boleh berkekalan sehingga enam dan 48 jam selepas daki.

"Namun, atas kewibawaan dan kecekapan pasukan JBPM terutama STORM, Muhamad Haziq yang beberapa kali melakukan operasi menyelamat bersama rakan media yang berkeupayaan.

"Alhamdulillah misi yang dirancang sempena memuliakan ulang tahun keputeraan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah ini berjaya membawa amanat baginda, agar semua peserta bersatu hati dan menjaga nama negara," katanya.

Trek laluan berlumpur yang mencabar di puncak bukit, dengan suhu mencecah 2 darjah selsius.
Trek laluan berlumpur yang mencabar di puncak bukit, dengan suhu mencecah 2 darjah selsius.

Ekspedisi ini juga sempena pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini.

Ketua Ekspidisi, Koresponden Wilayah Timur TV3, Ahmad Fazli Ahmad berkata, pserta menamatkan pendakian hari ini dan dijangka tiba ke tanah air pada Isnin.

Menurutnya, Isnin lalu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meraikan semua peserta serta melepaskan program ekspedisi pendakian di Istana Negara.

"Kelab Media Pahang mula aktif dalam sukan mendaki sejak 2014 dan sudah menganjurkan program mendaki di beberapa gunung di dalam dan luar negara.

"Antara gunung yang pernah didaki ialah Gunung Fan Sifan, Vietnam, Gunung Kerinci, Indonesia, Gunung Pulag, Filipina, Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Nepal dan Gunung Daik, Indonesia," katanya.