Koperasi ‘gergasi yang masih tidur’

Mohd Redzuan - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mohd Redzuan - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menggelar koperasi di Malaysia sebagai ‘gergasi yang sedang tidur’.

Menurutnya, ia berdasarkan perolehan perkapita mereka yang tidak begitu memberangsangkan sedangkan gerakan koperasi cukup kuat dengan dana serta sokongan daripada kerajaan.

“Sokongan pembiayaan pun ada tapi saya anggap mereka gergasi yang masih tidur.

“Kebanyakan gerakan koperasi ini boleh dibangunkan melalui kepimpinan yang baik,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di sini tengah hari tadi.

Tambah beliau, kementerian harus ‘mengejutkan’ koperasi bagi membolehkan mereka bangun dan terus menerokai peluang disediakan kerajaan.

“Kementerian cucuk sikit supaya mereka boleh bangun, berlari lebih kencang, berfikiran lebih meluas dan terus menerokai peluang-peluang yang kita wujudkan di peringkat nasional,” ujarnya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Ahli Parlimen Alor Gajah itu memaklumkan beliau dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sedang berbincang sama ada mahu mewujudkan Angkasa kedua.

“Tapi kita kena faham yang tersirat, yang pentingnya kalau masyarakat koperasi mendokong, memahami wawasan yang kita nak bawa, wawasan yang sama dengan kerajaan maka kita kan terus membantu dan memperkasakan Angkasa.

Artikel Berkaitan:

“Kita mengiktiraf Angkasa sebagai Badan Berkanun dan kita sedang mengkaji sama ada untuk wujudkan Badan Berkanun yang kedua, nak wujudkan pertandingan supaya lebih efektif,” ujarnya.

Tambah beliau, tujuan kerajaan mewujudkan persaingan adalah untuk mengelakkan Angkasa lena dan leka dari sudut menguruskan serta terus membangunkan koperasi dalam negara.

“Mereka telah dipertanggungjawabkan dan diberi amanah supaya menjalankan tanggunggjawab yang boleh membangunkan gerakan koperasi

“Dengan adanya idea ini, mungkin ia boleh membangunkan Angkasa supaya berjaga-jaga dan dapat satu pesaing yang berlumba-lumba memberikan perkhidmatan,” katanya.

Jelas beliau, semuanya masih dalam peringkat perbincangan dan masih belum ada kata putus berhubung cadangan itu.

Hari ini, lebih 4,000 perwakilan Angkasa bersidang bagi memilih pemimpin baru yang bakal menerajui badan berkanun itu dalam usaha membangunkan koperasi di seluruh negara.