Dana 1MDB: Hubungi MOF untuk pulangkan duit

Guan Eng (tengah) beramah mesra dengan penduduk Parlimen Bagan selepas menyampaikan bantuan bencana kepada mereka tadi.
Guan Eng (tengah) beramah mesra dengan penduduk Parlimen Bagan selepas menyampaikan bantuan bencana kepada mereka tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - [DIKEMASKINI] Tiga persatuan wartawan dan jurugambar di negeri ini yang didakwa menerima dana yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh menghubungi Kementerian Kewangan (MOF) untuk mengembalikan dana berkenaan.

Mereka boleh menghubungi kementerian itu bagi mendapatkan maklumat mengenai proses pemulangan wang tersebut.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, wang yang dikembalikan semula itu akan dimasukkan ke akaun khas, Akaun Tebus Balik yang diwujudkan di bawah bank tempatan.

Menurutnya, pihaknya sedang berusaha mengumpul semula wang 1MDB yang berjumlah RM52 bilion termasuk faedah yang kini masih dalam proses siasatan.

"Menerusi rekod, ia jelas menunjukkan nama persatuan-persatuan ini namun, bagaimana dan bila mereka nak pulangkan, itu terpulang kepada mereka.

Bagaimanapun, lebih baik hubungi Kementerian Kewangan kerana kita ada akaun khas untuk wang yang dipulangkan ini.

"Bukan hanya persatuan media sahaja, mana-mana pihak pun, yang menerima dana dari 1MDB dan ingin pulangkan, sila berhubung dengan Kementerian Kewangan untuk tujuan itu.

"Saya difahamkan, ada yang mahu pulangkan. Jika mereka pulangkan, ia menunjukkan keikhlasan mereka. Namun ada juga yang degil. Tiada tempoh diberikan tetapi jika tidak pulangkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan sita dan bekukan akaun mereka," katanya pada sidang media tadi.

Artikel Berkaitan:

Guan Eng ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa bencana di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan, di sini.

Terdahulu, Guan Eng mendedahkan persatuan wartawan dan jurugambar di Pulau Pinang antara pihak dikenal pasti turut menerima dana yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Menurutnya, selain 41 senarai didedahkan SPRM, terdapat beberapa lagi kesatuan, persatuan dan individu yang turut menerima sumbangan dana 1MDB berdasarkan senarai yang ada di Kementerian Kewangan.

Sementara itu, beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, saranan Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang meminta pihaknya mendapatkan semula wang 1MDB dari bekas pemimpin UMNO dalam PH sebagai tidak masuk akal.

Menurutnya, pembangkang dilihat seperti hilang arah apabila mendesaknya untuk meminta semula wang dari Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Saya sudah jelaskan sebelum ini, wang tersebut tidak masuk ke akaun peribadi mereka. Bagaimana saya nak kutip dari mereka yang tidak ambil wang tersebut?

"Adakah gesaan itu bermaksud, mereka yang tidak terima, perlu pulangkan manakala yang terima, tidak perlu pulangkan? Ini semua tidak masuk akal dan pembangkang dilihat sudah gelabah dengan isu 1MDB ini," katanya.