Bekas banduan terlibat 9 kes samun bersenjata

Mohamad Noor (tengah) menunjukan barang kes dirampas hasil penahanan dua individu yang melakukan samun di sekitar daerah ini.
A
A

KUANTAN - Dua lelaki yang ditangkap pihak polis kerana terbabit dalam beberapa kes samun bersenjata di sekitar daerah ini pertengahan Mei lalu adalah bekas banduan.

Salah seorang suspek berusia 30 tahun terbabit dipercayai terlibat dalam sembilan kes samun bersenjata membabitkan premis perniagaan.

Sementara itu, seorang lagi berusia 20 tahun dipercayai terbabit dengan dua kes samun apartmen.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, suspek berusia 30 tahun bekerja sebagai pemandu e-hailing ditahan di sebuah rumah di Felda Neram, Terengganu, jam 4.30 petang, Isnin lalu.

Menurutnya, ketika ditahan suspek terbabit cuba melarikan diri, namun begitu berjaya ditahan pihak polis.

“Pemeriksaan dijalankan di rumah itu telah menemui beberapa barang kes samun yang dilakukan oleh suspek.

“Suspek juga mengaku terbabit dengan sembilan kejadian samun iaitu tiga buah kedai pakaian, dua klinik dan masing masing satu kedai runcit, kedai kasut, farmasi dan kedai haiwan ketika siasatan awal dijalankan terhadapnya," katanya pada sidang media hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati suspek juga mempunyai empat kes lampau iaitu dua kes jenayah dan dua kes dadah serta pernah dikenakan hukuman penjara kerana kes samun.

Dalam perkembangan itu, Mohamad Noor berkata, penangkapan suspek kedua pula berjaya ditahan di sebuah rumah di Tanah Putih di sini, kira-kira jam 4.30 petang, pada Selasa lalu.

Katanya, suspek bekerja sebagai pembantu kedai dipercayai terbabit dalam dua kes samun bersenjata.

“Ketika ditahan suspek cuba bersembunyi di syiling rumah dan pihak merampas barang kes berkaitan kejadian samun.

“Suspek juga mengaku terbabit dalam dua kes samun apartmen selain mempunyai sembilan kes lampau iaitu lima kes jenayah dan empat kes dadah.

“Suspek ini juga pernah dikenakan hukuman penjara kerana kes samun," katanya.

Tambahnya kejadian samun yang dilakukan oleh kedua-dua suspek menyebabkan kerugian mencecah RM10,000.

Bagaimanapun, Mohamad Noor menjelaskan samun yang dilakukan tidak menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia