Isu lombong emas: Keselamatan rakyat jadi keutamaan

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menafikan tegurannya tentang kebimbangan terhadap perlombongan emas di Marang bermotifkan politik, sebaliknya demi keselamatan rakyat.

Menurutnya, kenyataannya secara umum tentang langkah berjaga-jaga yang patut diambil setelah merujuk kepada pelbagai pihak, termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) yang berada di bawah kementeriannya.

Menurutnya, aktiviti perlombongan, termasuk perlombongan emas perlu dipantau dengan baik kerana ia boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa pekerja serta penduduk berdekatan lombong yang diterokai.

“Mengikut kajian saintifik, perlombongan emas terutamanya apabila terdedah kepada udara, hujan serta panas boleh menyebabkan perlepasan kimia merkuri, arsenik dan ‘lead’ yang membahayakan nyawa manusia.

“Ini adalah asas penjagaan alam sekitar dan kesihatan yang kita semua bertanggungjawab mengikut peraturan dan piawaiannya.

“Selepas kenyataan peringatan saya, saya serahkan kepada kebijaksanaan pihak berkuasa tempatan negeri untuk memastikan peraturan, garis panduan kerja serta keselamatan nyawa pekerja untuk diberi perhatian,” katanya.

Jelas Raja Bahrin, sebelum ini beberapa kes melibatkan pencemaran serta keracunan alam daripada aktiviti perlombongan emas seperti yang berlaku di Bukit Koman, Raub yang dilaporkan pada Januari 2010 dan di Kampung Gua, Kuala Lipis yang dilaporkan pada Januari 2018 adalah kes-kes yang melibatkan perlombongan emas.

“Saya berpendapat, pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan. Sebelum situasi menjadi parah baiklah kita mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian ada menyiarkan kenyataan wakil pendulang emas yang menyifatkan kenyataan Raja Bahrin mengenai aktiviti perlombongan berkenaan hanya kerana kepentingan politik dan mahu menjatuhkan pentadbiran kerajaan negeri.

Raja Bahrin turut menyangkal kenyataan yang dibuatnya sebelum ini bermotifkan politik untuk memburukkan kerajaan Terengganu.

“Pihak saya dan kerajaan negeri telah beberapa kali kunjung mengunjungi antara satu sama lain demi kemajuan serta kebajikan rakyat Terengganu. Beberapa projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama kerajaan negeri juga telah dikenal pasti dan telah pun diluluskan kami, termasuk di Marang sendiri.

“Walaupun berbeza pendapat politik, isu perlombongan ini adalah isu keselamatan untuk kebaikan bersama kerajaan negeri dan Persekutuan, yang perlu kita tangani demi kebaikan bersama dan untuk rakyat,” katanya.

Tambahnya, kerjasama di antara kerajaan Terengganu dengan kerajaan Persekutuan melalui KPKT juga sehingga ini berjalan baik dengan pendekatan yang profesional demi kepentingan dan kebajikan rakyat.