Kutuk-mengutuk punca gaduh

Adegan dua remaja dipercayai suspek ketika sedang memukul mangsa seperti rakaman video yang tular berkenaan.
Adegan dua remaja dipercayai suspek ketika sedang memukul mangsa seperti rakaman video yang tular berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kutuk-mengutuk dipercayai menjadi motif seorang remaja lelaki dipukul dua lagi remaja lain dalam satu kejadian di Taman Permainan Taman Setia Indah, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, dua lagi remaja yang bertindak memukul mangsa adalah berusia 16 tahun.

“Berdasarkan keterangan mangsa yang berusia 15 tahun, sebelum kejadian, dia telah menerima panggilan daripada rakannya untuk datang ke taman permainan di perumahan tersebut.

“Setelah sampai di lokasi, berlaku pertengkaran mulut antara pengadu dengan rakan-rakannya sebelum dua daripadanya bertindak memukul mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata, akibat daripada kejadian itu, mangsa telah mengalami bengkak di beberapa bahagian anggota badan selain turut didakwa muntah darah.

Katanya, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis hari ini untuk memberikan keterangan berhubung kejadian itu.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis kemudiannya bertindak menahan dua daripada suspek itu di kediamannya di Taman Daya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, video menunjukkan mangsa dipukul sambil diperhatikan beberapa remaja lain mula tular di laman sosial Facebook.