Keldai dadah ditahan, 5.3kg syabu dirampas

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Cubaan seorang lelaki dipercayai keldai dadah untuk membawa masuk 5.3 kilogram syabu bernilai RM266,250 dari Kuala Lumpur gagal apabila ditahan polis sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Tawau, Isnin lalu.

Suspek berusia 30-an itu mengaku bekerja sebagai keldai dadah dan menerima upah RM6,000 untuk setiap penghantaran bekalan dadah ke daerah tersebut.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau sebaik tiba dari Kuala Lumpur pada jam 3.45 petang.

“Hasil pemeriksaan terhadap bagasi yang dibawa oleh suspek mendapati terdapat lima bungkusan plastik bertulis ‘Big Bang Grilled Seaweed’ dan satu lagi bungkusan tertulis ‘Chinese Tea Gift’.

“Apabila bungkusan itu dibuka, terdapat paket lutsinar berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu seberat 5.3 kilogram,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan dadah berkenaan dari Kuala Lumpur dan polis kini sedang menjalankan risikan lanjut untuk mengesan pembekal berkenaan.

Zaini berkata ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah dan kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 1 Julai depan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Artikel Berkaitan: