5 kawasan di Klang masih terjejas bekalan air

Abdul Raof Ahmad
Abdul Raof Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM -Hanya lima daripada 31 kawasan di wilayah Klang masih mengalami gangguan bekalan air ekoran kebocoran paip utama di Seksyen 15 di sini sejak semalam.

Bagaimanapun, pengguna di 26 kawasan lain yang terjejas sudah menerima bekalan air masing-masing secara berperingkat.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, pemantauan dijalankan pihaknya mendapati hampir 80 peratus kawasan sudah pulih sepenuhnya.

“Lima lagi kawasan yang masih belum pulih dan menerima bekalan termasuk Taman Sentosa, Taman Klang Jaya, Taman Desawan, Johan Setia dan Taman Sri Andalas,” katanya.

“Bantuan lori tangki air terus digerakkan di samping pusat khidmat setempat (PKS) yang akan terus beroperasi sehingga bekalan pulih sepenuhnya,” katanya.

Abdul Raof berkata, kerjasama pengguna sepanjang tempoh pemulihan dihargai dan pihaknya memohon maaf atas segala kesulitan serta berusaha mempercepatkan proses pemulihan bekalan air di kawasan terjejas.

Katanya, pengguna boleh merujuk status terkini bekalan air di laman sesawang www.syabas.com.my dan aplikasi telefon bimbit Air Selangor yang dikemaskini dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sebanyak 31 kawasan di wilayah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran kebocoran paip utama berhampiran Dataran Automobil, Persiaran Selangor, Seksyen 15, di sini, awal pagi semalam.

Artikel Berkaitan:

Insiden itu menjejaskan sebanyak 99,454 jumlah akaun berdaftar di 31 kawasan terlibat.

Kejadian turut mengakibatkan pengurangan sebanyak 70 juta liter sehari ke Kolam Air Lipat Kajang.

ARTIKEL BERKAITAN 31 kawasan di Klang terjejas bekalan air