Ragut: Polis buru dua suspek bermotosikal

Rakaman CCTV yang tular di media sosial sejak semalam.
Rakaman CCTV yang tular di media sosial sejak semalam.
A
A
A

TAPAH - Polis sedang mengesan dua suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian ragut di hadapan sebuah kedai di Pekan Sungkai, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian belakang tempat kejadian menunjukkan suspek menggunakan motosikal jenis Yamaha Y150 berwarna merah berhenti berhampiran kereta mangsa.

Menurutnya, ketika kejadian sekitar jam 5.10 petang itu, mangsa merupakan wanita berusia 50 tahun baharu sahaja selesai membeli barangan dapur dan meletakkan barangan serta beg tangan di bahagian hadapan sebelah penumpang keretanya.

"Sebaik mangsa menghidupkan enjin, secara tiba-tiba seorang daripada suspek menuju ke arah kereta membuka pintu bahagian hadapan penumpang dan terus mengambil beg tangan pengadu.

"Lelaki itu kemudiannya dilihat melarikan diri bersama rakannya menaiki motosikal," katanya.

Rakaman CCTV berhubung kejadian itu tular di media sosial sejak semalam.

Akibat kejadian itu, wanita berkenaan mengalami kerugian termasuk wang tunai RM400, sebuah telefon bimbit, kad kredit, kad mesin pengeluaran wang automatik, MyKad dan lesen memandu.

Beliau berkata, setakat ini tidak ada sebarang saksi yang tampil memberikan keterangan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.