Jokowi atau Prabowo? Mahkamah Konstitusi putuskan esok

Prabowo, Jokowi
A
A

JAKARTA - Jokowi atau Prabowo? Mahkamah Konstitusi (MK) Indonesia dijadual memutuskan keputusan Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres) 2019 esok.

Presiden Jokowi atau Joko Widodo, sebelum ini diumumkan memenangi Pilpres 2019 oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) pada 21 Mei lepas, namun pencabarnya, Prabowo (Prabowo Subianto), memfailkan petisyen mencabar keputusan itu di MK.

Selepas keputusan KPU, pada 21 dan 22 Mei lepas, turut mencetuskan beberapa siri insiden rusuhan di Jakarta, oleh pihak-pihak tertentu yang tidak berpuashati dengn keputusan berkenaan.

Persidangan atau perbicaraan keputusan Pilpres itu berlangsung bermula 14 Jun hingga 21 Jun lepas, dengan semua pihak berkaitan seperti peguam dan saksi dari pihak Prabowo, KPU dan Badan Pengawas Pemilihan Umum, memberikan keterangan mereka.

Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat MK, Fajar Laksono dipetik agensi berita Antara hari ini berkata sembilan hakim MK yang diketuai Ketua Hakim MK Anwar Usman telah selesai mengadakan Rapat (Mesyuarat) Pemusyawaratan Hakim (RPH).

"Sebelumnya, MK menjaduallkan sidang pembacaan putusan pada hari Jumaat (28 Jun). Namun, berdasarkan keputusan RPH, para hakim konstitusi sepakat untuk membacakan keputusan itu esok, jam 12.30 tengah hari," katanya.

KPU sebelum ini mengumumkan kemenangan Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma'ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala Prabowo, 67, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi. Pilpres 2019 berlangsung 17 April lepas.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia