Tujuh anggota polis maut serangan di Sinai Utara

Tujuh anggota polis terbunuh dalam serangan di Sinai Utara, Mesir.
A
A

KAHERAH - Tujuh anggota polis dilaporkan terbunuh dalam serangan militan di Sinai Utara, kata Kementerian Dalam Negeri Mesir hari ini.

Menurut kementerian terbabit, serangan yang berlaku berhampiran ibu kota serantau El-Arish, menyasarkan sebuah pusat perhimpunan polis.

Empat penyerang terbunuh ketika pertempuran ekoran serangan terbabit, salah seorangnya maut apabila dia meletupkan tali pinggang dipenuhi bahan letupan.

Sinai Utara sejak sekian lama menjadi tumpuan pemberontak dan pihak berkuasa Mesir tahun lalu melancarkan penentangan terhadap militan.

Ratusan militan terbunuh bersama puluhan tentera menurut angka rasmi yang tidak dapat disahkan kerana sebahagian besar Sinai ditutup kepada wartawan.

Mesir yang menjadi tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika kini berada dalam keadaan berjaga-jaga walaupun tiada sebarang perlawanan diadakan di Sinai.

Sebulan sebelum kejohanan tersebut berlangsung, sebuah bas pelancong menjadi sasaran bom pinggir jalan berhampiran Piramid Giza. - AFP


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia