122 kes babit orang asli Bateq dijangkiti wabak campak

DR ZAINI HUSSIN
DR ZAINI HUSSIN
A
A
A

KOTA BHARU – Sejumlah 122 kes membabitkan orang asli Bateq Kuala Koh, Gua Musang yang dijangkiti wabak measles atau demam campak yang direkodkan Jabatan Kesihatan Kelantan sejak awal bulan lalu sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, jumlah tersebut dicatatkan sehingga jam 12 malam itu menunjukkan pertambahan berbanding 118 kes pada tempoh sama 23 Jun lalu, sementara kematian kekal tiga.

Katanya, jumlah kes membabitkan suku kaum asli Bateq tersebut sememangnya bertambah secara kumulatif, namun bagi pesakit yang dirawat di dalam wad di dua hospital iaitu Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK) berkurangan.

“Setakat semalam kes pesakit orang asli Bateq Kuala Koh yang masih berada di dalam wad berkurangan kepada 37 kes berbanding 43 kes yang direkodkan pada 23 Jun 2019. Daripada 37 itu seramai 35 orang asli Bateq dirawat di wad biasa, manakala dua lagi berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKK.

“Bagi kes di Rika (Rumah Inap Komuniti Asli) pula bertambah daripada sembilan pada 23 Jun 2019 kepada 12 orang asli Bateq yang sembuh pada semalam selain les di PLKN (Pusat Latihan Khidmat Negara) Etnobotani bertambah daripada 24 kepada 29 orang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan wabak measles atau demam campak melanda komuniti orang asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang.

Ia berdasarkan keputusan ujian makmal yang mengesahkan 37 daripada 112 kes membabitkan komuniti Orang Asli itu disebabkan wabak berkenaan termasuk tiga kematian disahkan setakat ini.

Dr Zaini berkata, kawasan perkampungan orang asli Bateq di Kuala Koh Gua Musang yang menjadi lokasi penularan wabak campak tersebut masih kekal zon merah seperti yang diisytiharkan bermula 12 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Kampung tersebut masih belum selamat untuk dimasuki orang ramai tanpa memakai pakaian khas berikutan bimbang berlaku jangkitan wabak campak berkenaan.

“Kes yang ditempatkan di Rika dan kem PLKN itu pula adalah lebih kepada kes-kes untuk pemantauan dan diletakkan di sana atas sebab-sebab sosial seperti keadaan tempat tinggal, kemudahan air, ubat-ubatan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, kes-kes jangkitan wabak berkenaan yang dirawat di HKK dan HGM berkurangan menunjukkan keberkesanan kawalan secara menyeluruh bukan sahaja daripada pihak Jabatan Kesihatan malah turut membabitkan kerjasama daripada agensi-agensi lain.

“Sejak penyakit berkenaan dikenal pasti oleh pihak Kementerian Kesihatan kerja-kerja mengekang penularan wabak dan memberi perkhidmatan perubatan sehabis baik kepada orang asli masih berterusan.

“Ditambah juga dengan pemberian vaksinasi InsyaALLAH akan bermula di lapangan pada 2 Julai ini secara serentak di tiga negeri iaitu Kelantan Pahang dan Terengganu bertujuan memberi liputan yang maksimum kepada suku kaum orang asli Bateq yang terdedah dengan wabak ini dan penduduk sekitar,” katanya.

Sinar Harian pada Syawal ketiga yang lalu membongkar kisah orang asli suku kaum Bateq Kuala Koh, Gua Musang meninggal dunia seorang demi seorang sehingga mencecah angka 15 kematian termasuk terbaru membabitkan kanak-kanak lelaki Nasri Rosli, 3, pada 16 Jun lalu.