SPRM lapor KDN jika ada kelemahan sistem VLN

 Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) akan menghantar dengan segera satu laporan jika terdapat sebarang kelemahan dan kekurangan dalam sistem dan prosidur Sistem Visa Luar Negara (VLN) kepada Kementerian Dalam Negeri.

Timbalan Ketua Pesuruhjayanya (operasi), Datuk Seri Azam Baki berkata, pegawai beliau akan mengemukakan laporan mengenai kelemahan untuk dikaji oleh kementerian dan untuk tindakan lanjut berhubung perkara itu.

“Bahagian Pemeriksaan dan Konsultasi SPRM akan menghantar laporan secepat mungkin kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mereka mengambil tindakan perlu berhubung dengan sebarang kelemahan dan kekurangan dalam sistem dan prosidur berkenaan serta bagaimana sistem itu digunakan dalam kes ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perbicaraan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa atas tujuh pertuduhan rasuah berjumlah SGD4.24 juta melibatkan satu sistem visa luar negara di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Zahid Hamidi, yang juga bekas Menteri Dalam Negeri ketika itu, didakwa menerima wang sebagai dorongan kepada beliau untuk melanjutkan kontrak Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd bagi menguruskan pusat sehenti di China dan sistem VLN.

Mengenai perkara yang sama, Azam berkata bukan semua pegawai berkenaan dikatakan terlibat dalam kes itu akan dipanggil untuk disoal oleh SPRM tetapi sesetengah akan perlu dipanggil ke mahkamah sebagai saksi. - Bernama

Artikel Berkaitan: