Hanya satu laporan Kod Sukan Selamat diterima - Hannah

Hannah Yeoh menunjukkan buku Kod Sukan Selamat ketika berucap pada Majlis Menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat bersama Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia di Bunga Kemboja Fitness, pada Selasa. - Foto Bernama
Hannah Yeoh menunjukkan buku Kod Sukan Selamat ketika berucap pada Majlis Menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat bersama Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia di Bunga Kemboja Fitness, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan hanya menerima satu laporan berhubung penggunaan Kod Sukan Selamat, setakat ini.

Hannah berkata, laporan itu berkaitan dengan kes pelumba wanita negara daripada acara skuad berbasikal bukit (MTB) yang mendakwa mengalami gangguan seksual daripada jurulatihnya sendiri pada Mac lalu.

"Setakat ini yang dimaklumkan kepada (KBS) hanya kes (pelumba wanita dakwa menjadi mangsa gangguan seksual) ini. Namun, perkara itu dikendalikan oleh pegawai pelindung Majlis Sukan Negara (MSN) dan difahamkan siasatan polis masih lagi berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat Bersama Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia di Bunga Kemboja Fitness, Seri Kembangan, Selangor pada Selasa.

Menurut Hannah, atlet itu sudah menyambung latihan untuk mewakili negara di Sukan SEA Kemboja dan pihaknya sentiasa memastikan tiada lagi gangguan terhadap atlet itu.

Hannah juga berkata, sehingga hari ini beliau belum mengadakan pertemuan empat mata dengan mana-mana pihak berkaitan kes itu sebaliknya hanya mendapatkan maklumat terkini daripada pegawai pelindung MSN kerana mereka mahu menjaga kerahsiaan identiti mangsa.

Kod dibangunkan KBS pada 15 Mac lalu itu adalah garis panduan mengenai persekitaran sukan yang selamat, selain menekankan peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam menangani sebarang bentuk gangguan dan penderaan dalam sukan.

Selain itu, ia dapat memperkukuh aspek integriti dalam tadbir urus badan sukan dan ekosistem sukan negara secara menyeluruh.

Mengulas mengenai Majlis Menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat Bersama Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia, Hannah berkata, ini adalah usaha produktif pihaknya memberi kesedaran berkaitan keselamatan seseorang ketika bersukan.

KBS turut memperuntukkan RM20,000 kepada Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia bagi membantu kelangsungan sektor industri itu untuk terus maju selepas pandemik Covid-19. - Bernama