Chikungunya: Lokasi dalam radius 200 meter berisiko

Dari kanan Chan dan Mohd Zohdi yang turun padang dan menyertai aktiviti semburan racun serangga di deretan kedai di hadapan pusat beli-belah City Plaza.
Dari kanan Chan dan Mohd Zohdi yang turun padang dan menyertai aktiviti semburan racun serangga di deretan kedai di hadapan pusat beli-belah City Plaza.
A
A
A

ALOR SETAR - Pemantauan berterusan akan dilakukan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di deretan kedai berhadapan pusat beli-belah City Plaza bagi memastikan penyakit chikungunya tidak menular ke tempat lain.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad berkata, semua lokasi sehingga radius 200 meter dari deretan kedai-kedai tersebut akan diberi tumpuan kerana dianggap sebagai berisiko ataupun 'hotspot'.

Mohd Zohdi Saad
Mohd Zohdi Saad

"Gotong-royong yang diadakan di deretan kedai ini adalah bertujuan untuk mencegah penularan penyakit chikungunya. Tempat ini dikenal pasti sebagai lokasi bermulanya penyakit tersebut.

"Saya berharap usaha ini berjaya mengekang wabak apabila setakat semalam seramai 15 orang sudah sah dijangkiti chikungunya," katanya selepas program gotong-royong dengan menyembur racun serangga di deretan kedai tersebut hari ini.

Mohd Zohdi (kanan) turut sama menyertai aktiviti semburan racun serangga di deretan kedai di hadapan pusat beli-belah City Plaza.
Mohd Zohdi (kanan) turut sama menyertai aktiviti semburan racun serangga di deretan kedai di hadapan pusat beli-belah City Plaza.

Program itu turut disertai Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai yang menyumbang lebih 200 botol penyembur racun serangga.

Menurutnya, usaha tersebut bertujuan untuk memastikan Banda Raya Alor Setar kembali bersih dan berharap semua pemilik memberikan kerjasama menjaga kebersihan.

Artikel Berkaitan:

Program berkenaan melibatkan lebih 50 petugas dari MBAS, Jabatan Kesihatan Kedah dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Alor Setar.

Dalam pada itu, kes tersebut juga mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyifatkan gejala tersebut di tahap membimbangkan, namun pihaknya melihat ia masih terkawal dan sedang diuruskan jabatan kesihatan.

Mohd Zohdi berkata, pihaknya masih menunggu laporan dari jabatan kesihatan negeri selain turut meminta jabatan itu dan MBAS untuk melakukan siasatan terperinci supaya dapat memahami apa punca sebenar kepada wabak tersebut.