Felda, KPT, LTAT tolak resolusi bayaran yuran pengarah FGV

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemegang saham FGV Holdings Bhd (FGV) termasuk tiga pemegang saham utamanya seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), hari ini bertindak menolak resolusi membabitkan bayaran yuran dan manfaat kepada pengarah syarikat tersebut.

Pengerusinya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, selain Felda yang memegang kepentingan sebanyak 33.7 peratus, pemegang saham terbesar lain adalah Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) (5.0 peratus) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) (1.25 peratus).

“Ini merupakan satu detik bersejarah, malah ahli lembaga pengarah sedang membincangkan apa yang wajar dilakukan, termasuk meneliti semua pilihan bagi meleraikan isu itu.

"Apa yang kami utamakan adalah kepentingan syarikat. Kami mahu pastikan apa juga keputusan yang diambil tidak hanya mewakili kepentingan satu-satu pemegang saham sebaliknya kesemua pihak terbabit serta syarikat," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu di sini, hari ini.

Resolusi itu bertujuan mendapatkan kelulusan berhubung pembayaran yuran pengarah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, bayaran yuran pengarah bagi tarikh 26 Jun, 2019 sehingga AGM seterusnya dan bayaran manfaat yang boleh dibuat bagi tempoh 26 Jun, 2019 sehingga AGM berikutnya.

Selain itu, resolusi lain yang turut ditolak adalah membabitkan hak pengarah dalam memperuntuk dan terbitan saham mengikut Seksyen 75 Akta Syarikat, 2016.

Sejumlah 12 resolusi telah dikemukakan pada AGM itu dengan satu daripadanya ditarik balik berikutan tindakan Datuk Mohamed Suffian Awang menarik balik tawaran untuk dilantik semula sebagai pengarah.

Mengulas perkara itu, Azhar berkata, apa yang menjadi ironis adalah para pemegang saham tidak mempunyai sebarang masalah dengan pelantikan semula para pengarah dan semua resolusi tersebut telah diluluskan.

Artikel Berkaitan:

"Para pemegang saham masih mahukan kami sebagai pengarah namun (pada masa sama) tidak berhasrat untuk membayar (yuran) kami. Saya ingin tegaskan bahawa tiada sebarang kenaikan yuran pengarah dan jumlahnya kekal seperti sebelumnya.

"(Oleh itu) saya benar-benar tidak tahu apakah asas penolakan itu," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan turut meletak jawatan susulan penolakan resolusi terbabit, Azhar berkata, itu bukanlah satu pilihan.

"Kami hadir untuk memimpin syarikat... bukannya kerana bayaran yang diterima. Kami menggalas tanggung jawab ini dengan mengambil maklum dan memahami sepenuhnya cabaran dalam FGV.

"Kami sanggup berdepan kesukaran demi memimpin syarikat ini," katanya.

Azhar berkata, susulan AGM itu, kalangan anggota lembaga pengarah akan membincangkan pilihan yang perlu dipertimbangkan bagi menangani situasi sedemikian.

Beliau juga yakin walaupun perkara itu dapat diputuskan kelak walaupun bukan dalam masa terdekat ini. - Bernama