Lima ditahan dipercayai terlibat kes lepaskan tembakan

Baharudin (tengah) menunjukkan bahan rampasan kes melepaskan tembakan di Alam Megah.
Baharudin (tengah) menunjukkan bahan rampasan kes melepaskan tembakan di Alam Megah.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pekerja syarikat telekomunikasi ditahan selepas terlibat dalam kes melepaskan tembakan di hadapan sebuah restoran di Taman Alam Megah, Seksyen 28 di sini.

Dalam kejadian jam 11.30 malam pada 19 Jun lalu, suspek dipercayai melepaskan tembakan ke udara selepas berlaku perselisihan faham dan berada di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan bersama isterinya pada 20 Jun lalu.

"Suspek yang mempunyai empat rekod jenayah lampau itu ditahan di sebuah rumah di Putra Heights Subang Jaya pada jam 6.30 petang.

"Siasatan lanjut menemukan 22 butir peluru hidup berukuran 9mm di dalam plastik di atas meja ruang tamu manakala sepucuk pistol semi auto jenis CZ Compact ditemui di dalam kenderaan jenis Nissan Frontier.

"Susulan tangkapan suspek utama, pihak polis membuat serbuan di dua lokasi di Putra Heights dan Taman Alam Megah sekali gus menahan tiga lagi suspek," katanya.

Katanya, tiga lelaki yang berusia lingkungan 23 tahun sehingga 34 tahun itu dipercayai ahli kumpulan 77 dan aktif di sekitar Kuala Lumpur.

"Kesemua suspek berjaya ditangkap dalam tempoh 24 jam hasil kecekapan pihak polis dan mereka direman bermula 21 Jun lalu sehingga 27 Jun ini.

Artikel Berkaitan:

"Hasil soal siasat turut membongkarkan, suspek dipercayai baru saja memiliki pistol yang dibeli dengan harga RM4,000 dari negara jiran, Thailand

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960/ Seksyen 8 Akta Senjata PLB 1971," katanya pada sidang media di IPD Shah Alam, pagi tadi.