Malaysia tidak akan diheret ke dalam konflik dimulakan pihak lain

Dr Mahathir - Foto Bernama
Dr Mahathir - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia tidak akan diheret ke dalam konflik yang telah dimulakan pihak lain, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-33 di sini, beliau berkata pada masa ini kerjasama erat antara negara adalah amat penting, lebih daripada masa-masa lain dalam sejarah kontemporari.

Ini disebabkan oleh keadaan ketidakpastian geopolitik sekarang dan pertandingan mendesak terhadap penguasaan perdagangan yang mengancam keazaman negara-negara untuk membangun melepasi tahap pemisahan dan penyesuaian semula.

"Walaupun kami mengalu-alukan kerjasama antarabangsa dalam memastikan keselamatan dan keamanan di rantau ini, kami tidak mahu diheret ke dalam usaha ketuanan kuasa besar dan kehadiran tentera mereka dalam zon keamanan, kebebasan dan berkecuali kita,” katanya ketika menyampaikan ucap tamanya bertajuk ‘Malaysia Baharu dalam Perubahan Pemerintahan Serantau’.

Dr Mahathir berkata, pernah terjadi di mana kepentingan negara-negara kecil boleh dipertahankan jika mereka bersatu sebagai satu kumpulan serantau dan kumpulan ASEAN di Asia Tenggara telah dikreditkan sebagai salah satu daripada organisasi serantau terbaik yang pernah ditubuhkan.

Rantau ini telah lama menyaksikan permainan kuasa serantau dan global secara terus, tetapi berjaya mengatasinya, menjadi lebih matang dan secara kolektifnya menjaga kemerdekaannya dan terus berkecuali. - Bernama

Dr Mahathir berkata negara-negara perlu membetulkan semula keutamaan dan mengorientasikan semula minda mereka daripada senario peperangan “kalah-kalah” kepada prospek perniagaan “menang-menang”.

Bagaimanapun, ia memerlukan iltizam politik yang kuat kerana isu-isu berkaitan kebebasan navigasi dan keselamatan maritim adalah lebih baik ditangani dengan cara bekerjasama, dan bukan cara berkonfrontasi.

Artikel Berkaitan:

"Cabaran paling besar bagi kita semua sekarang adalah perang perdagangan Amerika-China. Keadaan yang menjadi semakin buruk, daripada pertengkaran perdagangan kepada perang perdagangan, adalah amat mengecewakan, yang mungkin akan menyebabkan berlakunya Perang Dingin yang berpanjangan," kata beliau.

Jika itu berlaku, kata Dr Mahathir, ia akan memberi impak negatif kepada keseluruhan bahagian dunia yang lain, dan kedua-dua Amerika dan China tidak akan terlepas daripada kesan buruknya memandangkan tujuan peperangan adalah untuk memusnahkan satu sama lain.

"Saya berharap Amerika dan China segera bertindak secara waras untuk menukar konflik dengan kerjasama. Setiap orang akan meraih manfaat yang lebih besar jika kita bekerjasama antara satu sama lain, tetapi kita hendaklah juga menerima persaingan yang sihat,” tambah beliau.

Bagi Malaysia, Dr Mahathir berkata, negara memberi keutaman kepada ancaman keselamatan dari luar yang menjadi bukti tersendiri bahawa ia menggalakkan kejiranan serantau yang aman, stabil dan berautonomi secara strategik.

Beliau menambah, wujud kesediaan untuk berunding bagi mencapai matlamat bersama iaitu keamaan, jadi, masih ada harapan.

Dalam hubungan ini, beliau percaya prospek sedemikian wujud di Rakhine State di Myanmar antara pihak kerajaan, kumpulan-kumpulan pencegah jenayah dan kekacauan, dan masyarakat Rohingya.

"Jika sesebuah negara dapat menangani cabaran-cabarannya sendiri dengan berjaya tanpa mewujudkan masalah kepada orang lain, maka tidak perlu campur tangan pihak luar, sesuatu yang tidak disukai oleh sesebuah negara berdaulat," kata beliau. - Bernama