Resah projek lambat siap

Taman Tasik Sri Rampai satu-satunya kemudahan riadah yang terdapat di kawasan itu.
Taman Tasik Sri Rampai satu-satunya kemudahan riadah yang terdapat di kawasan itu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kelewatan menyiapkan projek naik taraf di Taman Tasik Sri Rampai di sini meresahkan penduduk yang kehilangan tempat beriadah selepas kawasan itu ditutup sejak Ogos lalu.

Penduduk Taman Sri Rampai, Jaspal Singh, 43, berkata, penduduk hampa apabila projek yang sepatutnya siap Mei lalu dilanjutkan sehingga Ogos ini.

Menurutnya, penduduk mahu projek tersebut disiapkan segera memandangkan tasik itu satu-satunya kemudahan riadah yang terdapat di Sri Rampai.

“Penduduk tertanya-tanya perkembangan projek tersebut. Tasik ini menjadi tumpuan kami beriadah, berjoging selain ada juga pihak luar yang menganjurkan pertandingan memancing atau sukan air,” katanya.

Menurutnya, dia berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan penjelasan berhubung perkembangan projek itu kerana usaha mendapatkan maklum balas sebelum ini tidak berhasil.

Sementara itu, peniaga, Alin Hashim, 38, mendakwa proses kerja naik taraf lokasi riadah itu tidak konsisten.

“Adakala nampak kontraktor buat kerja adakala senyap sunyi. Walaupun tasik ditutup ada juga beberapa orang awam yang dilihat tetap berjoging di luar tasik selepas kawasan itu dipagar.

“Tasik ini bagus dinaik taraf untuk keselesaan pengguna cuma bila tidak siap mengikut jadual ia menyusahkan orang awam yang tiada tempat untuk beriadah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Papan tanda projek memaklumkan projek naik taraf Taman Tasik Sri Rampai dilanjutkan sehingga Ogos ini.
Papan tanda projek memaklumkan projek naik taraf Taman Tasik Sri Rampai dilanjutkan sehingga Ogos ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya mengesahkan menerima aduan itu dan akan mendapatkan penjelasan daripada DBKL punca kelewatan projek itu.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati tiada sebarang kerja dilakukan di tapak berpagar itu yang masih ditutup kepada orang awam.

Sumber yang bekerja di tapak projek itu memaklumkan, kelewatan projek itu berlaku disebabkan terdapat perubahan pelan untuk kerja pembinaan laluan pejalan kaki.

“Tiada masalah teknikal cuma ada permintaan untuk perubahan pelan menyebabkan prosesnya mengambil masa dan tidak dapat disiapkan Mei lalu.

“Projek kini sudah siap 70 peratus, berbaki menyiapkan laluan pejalan kaki, pengindahan landskap dan pengadang. Dijangka ia mampu disiapkan Ogos ini jika tiada sebarang masalah,” katanya.

Pengarah Jabatan Landskap dan Rekreasi, Suhana Abd Malek mengesahkan DBKL telah melanjutkan tempoh projek itu sehingga 19 Ogos ini selepas kontraktor gagal menyiapkan kerja naik taraf mengikut jadual ditetapkan.

Katanya, DBKL akan memberikan kenyataan lanjut berkenaan itu dalam masa terdekat.