ABM sedia pinjaman perumahan kepada pembeli rumah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank-bank yang menjadi ahli Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) bersedia memberi pinjaman perumahan kepada pembeli rumah yang layak.

Menerusi satu kenyataan baru-baru ini, ABM menggalakkan individu yang berpotensi untuk menyertai program Rumahku yang diwujudkan di bawah Agensi Kaunseling and Pengurusan Kredit (AKPK). Program itu ialah modul pendidikan kewangan dalam talian yang disediakan secara percuma menerusi https://learn.akpk.org.my/courses/rumahku-english.

“Modul ini menyasarkan garis panduan, maklumat dan pengetahuan khusus mengenai pembeli rumah kali pertama sebelum mereka mengambil pinjaman perumahan. “Ia juga mengajar pembeli bagaimana untuk membuat penilaian terhadap pembiayaan yang menepati kemampuan mereka.

“Pengguna perlu mengetahui keperluan untuk membuat keputusan kewangan yang kukuh selaras dengan keadaan kewangan atau keadaan mereka,” katanya.

Pada 19 Jun lalu, Kementerian Kewangan menegur pihak bank supaya memberikan akses kepada pembiayaan secara lebih meluas kepada pembeli rumah pertama, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk memacu perkembangan ekonomi.

Ia berikutan tahap kesihatan kewangan isi rumah yang semakin pulih dengan kadar keberhutangan isi rumah berbanding keluaran dalam negeri kasar (KDNK) jatuh kepada 83 peratus pada 2018 daripada 83.8 peratus pada 2017.

Susulan perkembangan tersebut, pengguna kini mempunyai ruang yang lebih besar untuk meminjam bagi tujuan mengumpul kekayaan, sama ada untuk skim simpanan, atau untuk pelaburan bukan bertujuan spekulasi, termasuk pemilikan aset jangka masa panjang.

Dalam pada itu, ABM berkata, pihaknya akan memanfaatkan inovasi digital dalam perkhidmatan kewangan untuk meluaskan akses kepada perkhidmatan perbankan dan pembayaran. Jelasnya, usaha itu membolehkan pelanggan mempunyai pilihan lebih luas dari segi produk dan perkhidmatan selain akses yang lebih baik kepada perkhidmatan perbankan.

Artikel Berkaitan:

“Perkhidmatan digital yang ditawarkan oleh ahli meliputi pembiayaan dalam talian untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan platform rujukan pinjaman, imSME, dengan kerjasama Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC).

“ImSME merupakan saluran eksklusif bagi PKS untuk mengakses pilihan pinjaman termasuk pilihan pembiayaan tidak bercagar,” katanya.

Ujar ABM, platform tersebut membolehkan PKS mengakses maklumat dengan pantas dan pada masa nyata mengenai pilihan pembiayaan mudah, mencari pembiayaan di bank-bank yang menyertai dan memohon pembiayaan daripada platform tunggal.