Polis buru dua lelaki bantu siasatan kes samun kedai emas

Keadaan cermin pameran kedai emas yang dipecahkan oleh suspek.
Keadaan cermin pameran kedai emas yang dipecahkan oleh suspek.
A
A
A

KLUANG - Polis memburu dua lelaki bagi membantu siasatan kes samun sebuah kedai emas di Jalan Station, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, Pusat Kawalan Kluang dimaklumkan melalui talian Malaysian Emergency Response System (MERS) 999.

"Ketika kejadian, suspek memakai topi keledar berwarna biru dan merah dan memakai pakaian berwarna hitam, berbadan kurus dan berketinggian kira-kira 170 sentimeter menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru dan bersenjatakan dua penukul besi.

"Suspek telah bertindak memecahkan cermin pameran di dalam kedai emas tersebut sebelum mengambil rantai leher, gelang tangan serta loket emas dan sehingga kini jumlah kerugian masih belum diketahui," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadiam tersebut untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Hafizzam Semain di talian 0189423770 atau menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 077784222.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan akan dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Artikel Berkaitan: