Rokok seludup bernilai RM1.83 juta dirampas

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Mohd Rakbi Mat Saud (empat, kiri) bersama pegawai menunjukkan sebahagian rokok seludup bernilai RM1.83 juta yang berjaya dirampas di dua lokasi berasingan di hadapan jeti Pulau Beluru dan tebing Pulau Tongkang, Jumaat lepas pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Kastam Pengkalan Kubor hari ini. - Foto Bernama
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Mohd Rakbi Mat Saud (empat, kiri) bersama pegawai menunjukkan sebahagian rokok seludup bernilai RM1.83 juta yang berjaya dirampas di dua lokasi berasingan di hadapan jeti Pulau Beluru dan tebing Pulau Tongkang, Jumaat lepas pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Kastam Pengkalan Kubor hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT - Sejumlah 15,000 karton rokok bernilai RM1.83 juta termasuk cukai berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam dua serbuan berasingan di dua pangkalan haram di sini.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud berkata, rampasan rokok terbesar tahun ini pada Jumaat lalu itu dipercayai untuk pasaran tempatan selain kemungkinan akan dihantar ke Terengganu berikutan jumlahnya yang banyak.

"Pasukan Marin JKDM Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor mengesan dua buah bot pancung yang sedang menuju ke Kuala Besar, Kota Bharu.

"Pasukan mengejar kedua-dua bot terbabit lebih kurang 15 minit sebelum menahan sebuah daripada bot itu di hadapan jeti Pulau Beluru," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Menurutnya, dua lelaki berjaya melepaskan diri namun hasil pemeriksaan ke atas bot gentian kaca tidak bernombor itu anggota kastam menemui ratusan kotak putih berjenama John.

"Pemeriksaan lanjut mendapati ada 8,000 karton rokok mengandungi 1.6 juta batang rokok. Keseluruhan rokok itu dianggarkan sebanyak RM128,000 dengan anggaran cukai bernilai RM850,560.

"Kesemua barang rampasan termasuk bot bernilai RM50,000 dibawa balik ke pejabat. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Sementara itu, Mohd Rakbi berkata, dalam serbuan kedua pada pada jam 8 pagi di tebing Pulau Tongkang, pihak penguat kuasa menemui 7,000 karton rokok di bawah kanvas biru dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya kotak mengandungi rokok terbabit adalah daripada bot yang terlepas ketika dikejar pasukan marin JKDM pada pukul 5 pagi sebelum itu.

"Semua rokok terbabit dipercayai bernilai RM112,000 dengan taksiran cukai sebanyak RM744,240. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) akta yang sama," katanya.

Menurutnya, JKDM Kelantan akan meneruskan operasi seumpama itu pada masa akan datang bagi membendung kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di negeri ini.

Sehubungan itu katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan serta premis perniagaan yang menyimpan, memiliki dan mengangkut rokok seludup atau lain-lain barangan seludup dimohon untuk melaporkannya kepada JKDM melalui talian aduan penyeludupan 1-800-88-8855 atau 09-7411100. - Bernama