15 disahkan positif chikungunya

Salah seorang pesakit yang disyaki menghidap penyakit Chikungunya mendapatkan rawatan. - Foto ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah
Salah seorang pesakit yang disyaki menghidap penyakit Chikungunya mendapatkan rawatan. - Foto ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 15 orang yang tinggal di sekitar pusat beli-belah City Plaza, dekat sini disahkan positif chikungunya hasil pemeriksaan darah selepas disyaki menghidap penyakit itu berikutan mengalami demam, sakit sendi dan ruam dengan gejala awal bermula 9 Jun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, bagaimanapun ujian darah untuk penyakit denggi pula adalah negatif.

Menurutnya, siasatan yang diteruskan semalam oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar telah mengesan pertambahan sembilan orang dengan gejala yang sama dan menjadikan jumlah meningkat kepada 23.

"Sehingga jam 5 petang pada 23 Jun, kumulatif kes dikesan semenjak 22 Jun berjumlah 23 orang kesemuanya. Kebanyakan mereka mendapat rawatan pesakit luar di klinik swasta sekitar Alor Setar dan keadaan adalah stabil.

"Hasil ujian darah mendapati 15 orang disahkan positif chikungunya. Manakala ujian darah untuk denggi adalah negatif," katanya melalui satu kenyataan akhbar, hari ini.

Dr Norhizan berkata, aktiviti kawalan vektor telah dijalankan dengan menjalankan pemeriksaan premis di kawasan terlibat membabitkan 342 premis termasuk memeriksa 1,355 bilangan bekas dan hasilnya 16 premis positif pembiakan.

Keadaan air bertakung yang dikesan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah. - Foto ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah
Keadaan air bertakung yang dikesan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah. - Foto ihsan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah

Menurutnya, sebanyak 10 premis telah dikeluarkan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP 1975) dan aktiviti semburan kabus juga telah dijalankan dalam sekitar 200 meter dari kawasan terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi terutama penduduk di kawasan Jalan Tunku Ibrahim sekitar City Plaza dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan yang berdekatan.

"Jabatan Kesihatan Negeri Kedah menggesa semua pihak untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes demi mencegah jangkitan chikungunya, denggi dan zika," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan 14 penduduk yang berada di deretan rumah kedai berhampiran pusat beli-belah City Plaza disyaki menghidap penyakit chikungunya.

ARTIKEL BERKAITAN: Seramai 14 individu disyaki menghidap chikungunya