'Suara merdu yang akan paling dirindui jemaah'

Gambar kecil, Syed Mohd Muzzaffar
Gambar kecil, Syed Mohd Muzzaffar
A
A
A

IPOH - Pemergian Imam Masjid Sultan Azlan Shah, Mokhamad Ngifni Abdul Basir, 33, disifatkan sebagai kehilangan sangat besar selain akan dirindui jemaah masjid kerana mempunyai suara merdu ketika mengalunkan bacaan al-Quran.

Imam Utama Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan berkata, Allahyarham bertugas sebagai imam tambahan di masjid itu sejak setahun lalu selain menjadi Ketua Bahagian Akademik dan pensyarah di Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak.

"Allahyarham memang orang yang baik, ramai boleh jadi saksi. Orang yang tak pernah menyakiti orang lain dan cara dia bersembang menyenangkan orang. Kehilangan yang sangat besar. Antara yang paling akan dirindukan jemaah adalah bacaan al-Quran yang merdu oleh Allahyarham.

"Imam yang mempunyai alunan suara paling merdu meniru bacaan imam Masjidil Haram sehinggakan bila jemaah datang masjid seolah-olah solat di Makkah. Saya mohon semua doakan untuk Allahyarham," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Menurutnya, hari ini adalah giliran tugasan Allahyarham sebagai imam bermula solat Subuh hingga Isyak dan kali terakhir mereka berhubung pada 9.40 pagi tadi.

"Kita akan adakan solat jenazah di Masjid Sultan Azlan Shah selepas solat Isyak pada malam ini. Selepas itu, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya," katanya.

Mokhamad Ngifni yang berasal daripada Kampung Sungai Tiang Darat Bagan Datuk difahamkan meninggal dunia akibat kecederaan di beberapa bahagian badan dalam kemalangan di Kilometer 18 Jalan Keramat Pulai di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Imam Masjid Sultan Azlan Shah maut kemalangan

Artikel Berkaitan:

Mangsa dipercayai meninggal dunia selepas motosikal yang dinaiki hilang kawalan sebelum tercampak ke atas jalan dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi tadi.