Salahuddin terima surat Istana Johor kerana baju Melayu cekak musang seluar hitam

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub menerima surat daripada Jemaah Majlis Diraja Johor berkaitan peraturan pakaian di negeri tersebut.

Ia susulan gambarnya memakai baju Melayu cekak musang dan berseluar hitam ketika Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini yang tersebar di media sosial.

Maklumat itu disahkan sumber dari kementerian yang memaklumkan menteri tersebut menerima surat berkenaan pada 20 Jun lepas.

Menurutnya, surat itu bertarikh 9 Jun 2019 dan telah ditandatangani Yang Dipertua Jemaah Majlis Diraja Johor, Abdul Rahim Ramli.

"Adalah saya dengan hormatnya melampirkan bersama ini sesalinan Percanangan Dalam Bil: 2/2019 bertarikh 2 Jun 2019 berkenaan peraturan pakaian Johor.

"Jumaah Majlis Diraja berharap Yang Berhormat Datuk sebagai anak Johor, mengambil perhatian kepada peraturan tersebut, seterusnya memelihara dan memartabatkan budaya Johor," kata Abdul Rahim.

Baru-baru ini, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambarnya bersama adik-beradik dan Sultan Johor berbaju Melayu serta berseluar hitam.

Katanya, seluar hitam dipadankan baju Melayu Teluk Belanga ialah pakaian tradisi keluarga diraja Johor.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah pakaian tradisi keluarga diraja Johor. Identiti ini melambangkan keluarga Sultan Ibrahim dan kerabat damping. Keluarga yang memerintah. Darah keturunan sultan.

“Itu fasal kita boleh lihat tiada orang dalam kerajaan pakai seluar hitam kerana hanya keluarga diraja atau kerabat damping yang boleh pakai atau layak pakai seluar hitam,” tulis baginda.