Nilai RM6.2 bilion untuk ambil alih empat tol sesuai

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Nilai RM6.2 bilion yang ditawarkan kerajaan untuk mengambil alih kepentingan dalam empat pengendali lebuh raya utama negara dilihat sesuai dengan tempoh kewujudan syarikat lebuh raya itu.

Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, harga yang ditawarkan itu tidak terlalu tinggi atau rendah kerana keempat-empat operator itu sudah memperoleh pulangan modal.

Malah katanya, keempat-empat syarikat pengendali lebuh raya yang terlibat iaitu Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint), Kesas Sdn Bhd Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (Smart) juga tidak menguntungkan jika dibandingkan dengan Plus Malaysia Berhad (PLUS).

"Cuma persoalannya siapa yang sanggup mengambil alih keempat-empat lebuh raya ni kerana ia tidak menguntungkan.

"Jadi, untuk capai matlamat hapuskan tol atau kadarnya dikurangkan tidak mungkin akan tercapai dalam tempoh pertengahan atau panjang,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai tawaran pengambilalihan kepentingan dalam empat pengendali lebuh raya utama membabitkan nilai RM6.2 bilion oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan dijangka ambil alih 4 lebuh raya 31 Disember

Terdahulu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Gamuda Bhd yang juga pemegang saham terbesar dalam keempat-empat pengendali lebuh raya terbabit berkata, pihaknya menerima surat tawaran daripada MOF Inc bagi mengambil alih semua kepentingan termasuk saham biasa, saham keutamaan dan saham pinjaman.

Artikel Berkaitan:

Langkah itu dipercayai dibuat seiring dengan pengumuman kerajaan pada Februari lalu yang bercadang untuk mengambil alih empat lebuh raya terbabit, sebagai sebahagian daripada janji pilihan raya.

Mengulas lanjut mengenai usaha yang dilakukan kerajaan untuk hapuskan tol atau kurangkan sebanyak mungkin kadar bayaran, Barjoyai berpandangan sudah tiba masanya untuk kerajaan mewujudkan satu mekanisme baharu.

Katanya mekanisme itu termasuklah memperkenalkan tabung waqaf untuk mana-mana pihak menyumbang untuk mewaqafkan lebuh raya.

"Sebelum ini kita hanya dengar waqaf tahfiz, infrastuktur dan sebagainya, jadi apa kata kerajaan wujudkan waqaf lebuh raya di mana hasil sumbangan itu dapat digunakan untuk biayai kos penyelenggaraan.

"Kaedah ini dilihat sesuai untuk dilaksanakan pada masa sekarang agar tawaran tol percuma atau bayaran pada harga paling rendah dapat dilaksanakan segera," katanya.