Mee Calong Beserah Pak Mat Corner jadi pilihan pelancong

Mi calong enak yang dihidangkan di Mee Calong Beserah Pak Mat Corner
Mi calong enak yang dihidangkan di Mee Calong Beserah Pak Mat Corner
A
A
A

KUANTAN - Mi calong mungkin agak asing bagi mereka yang bukan berasal dari Kuantan namun perbezaan dan keenakannya menjadikan hidangan ini popular.

Istimewanya, makanan berkuah yang dihidangkan seperti mi sup dan mi rebus Terengganu itu hanya boleh didapati di Beserah.

Mi calong seakan-akan bakso kerana dihidangkan bersama bebola ikan tetapi perbezaannya ia ditambah tauhu.

Pak Mat menyediakan mi calong yang ditempah pelanggan.
Pak Mat menyediakan mi calong yang ditempah pelanggan.

Antara warung mi calong popular ialah Mee Calong Beserah Pak Mat Corner yang diusahakan oleh Baharum Mat Husin lebih 20 tahun lalu.

Warungnya yang agak tersorok tetap menjadi persinggahan pelanggan dari dalam dan luar negeri malah mempunyai ramai pelanggan setia sejak.

Rahsia keenakan

Peniaga berusia 55 tahun ini yang dikenali dengan panggilan Pak Mat berkongsi rahsia mi calongnya mendapat sambutan ramai dan berbeza dengan hidangan mi lain.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bebola ikan dibuat sendiri dan boleh juga dihidangkan bersama menu lain seperti mi sup dan mi rebus.

"Mungkin hanya orang Beserah sahaja tahu beza mi calong dan mi rebus. Calong bermaksud isi ikan yang digentel menjadi bebola dan kuahnya juga adalah sup ikan.

"Jika tiada butir ikan yang digentel sendiri ini bukan calong namanya," katanya.

Pelanggan sentiasa memenuhi warong Pak Mat
Pelanggan sentiasa memenuhi warong Pak Mat

Bapa kepada empat anak itu berkata, bukan mudah untuk mendapatkan resipi original mi calong kerana dia juga berguru dengan orang lama di Beserah.

"Resipi mi calong yang diniagakan bukan resipi turun-temurun. Tetapi saya belajar dengan penduduk lama di kampung ini," katanya.

Menurut Pak Mat, harga semangkuk mi calong hanya dijual dengan harga RM5 dan mendapat sambutan daripada pelbagai peringkat umur.

Pat Mat juga gembira kerana masakannya turut diketahui oleh penduduk luar Pahang dan pelancong.

"Kedai saya dikenali kerana hebahan pelanggan yang menyampaikannya dari mulut ke mulut. Pelanggan dari seluruh negeri. Jika ada yang dalam perjalanan ke Terengganu atau Kelantan pasti akan singgah di sini," katanya.

Sibuk ketika cuti

Warung Pak Mat menjadi tumpuan ketika cuti umum atau cuti persekolahan kerana ramai pelanggan akan singgah untuk menikmati kelazatan makanan itu.

Warong yang agak tersorot tidak menjadi masalah kerana pelanggan boleh mencari lokasinya
Warong yang agak tersorot tidak menjadi masalah kerana pelanggan boleh mencari lokasinya

"Jika hari biasa saya akan masak dalam dua periuk besar sup ikan mi calong tapi kalau musim cuti memang lebih ramai pelanggan dan akan habis dalam tiga periuk," katanya.

Warung Pak Mat turut menyediakan hidangan lain seperti mi goreng, mi rebus, mi hailam pelbagai hidangan serta keropok yang menjadi kegemaran pelanggan.

Menurut Pak Mat, buat masa ini dia belum berkongsi resipi kepada anak-anak kerana masih bersekolah dan ada yang menumpukan kepada bidang lain.

"Mi calong lambang identiti di Beserah dan harus dipertahankan walaupun zaman sudah berubah," katanya.