Jurugambar Taiwan bermalam di rumah 'Mowgli Malaysia'

Jurugambar dari Taiwan merakam gambar Syukur bersama kerbau.
Jurugambar dari Taiwan merakam gambar Syukur bersama kerbau.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kediaman Muhammad Syukur Khamis atau lebih terkenal dengan jolokan ‘Mowgli Malaysia’ di Kampung Banggol Katong, Manir, dikunjungi 11 jurugambar dari Taiwan dan seorang dari Johor Bahru.

Abang Muhammad Syukur, Muhammad Alias, 29, berkata, kesemua jurugambar terdiri daripada empat wanita dan lapan lelaki itu ingin bermalam serta menikmati suasana kehidupan di kampung sambil merakam kehidupan remaja itu bersama kerbau peliharaan.

Menurutnya, kumpulan itu tiba di kediamannya jam 4 petang, Khamis lalu dan bertolak pulang jam 12 tengah hari, (Jumaat).

“Wakil daripada kumpulan jurugambar iaitu dari Johor Bahru itu yang bertindak sebagai jurubahasa dalam kumpulan itu telah sampai ke kampung ini dua bulan lalu. Selepas itu, dia ada beritahu untuk datang lagi bersama kumpulan jurugambar dari Taiwan.

“Tak sangka pula ramai yang datang. Mujurlah kita masih dalam ‘mood’ Hari Raya Aidilfitri dan ada buat persiapan kuih muih untuk menjamu mereka,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Muhammad Alias berkata, pada mulanya mereka khuatir kumpulan jurugambar itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan makanan tempatan Terengganu.

“Mula-mula kita bimbang mereka tak dapat menerima makanan tempatan macam ketupat, rendang, nasi dagang. Tetapi, sangkaan kami meleset sebab kebanyakan mereka boleh makan makanan itu walaupun agak pedas.

“Antara menu lain yang kami hidangkan kepada mereka ialah bihun goreng, karipap dan beberapa kuih muih yang lain. Ada juga yang suka buah-buahan tempatan seperti buah stor (sentul),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kumpulan jurugambar itu menuju ke kandang kerbau yang terletak di Kampung Kubang Bujuk, Manir, di sini, seawal jam 6.30 pagi untuk merakam aksi Muhammad Syukur bersama kerbau dengan dibantu oleh jurugambar yang juga berperanan sebagai jurubahasa itu.

“Susah juga nak faham mereka cakap sebab kalau guna Bahasa Inggeris, slang lain. Bila kita cakap mereka faham, bila mereka cakap kita pula yang tak faham.

“Jadi, memang kami peranan jurubahasa penting untuk memastikan momen-momen Syukur bersama kerbau yang mereka inginkan dapat dirakam,” katanya.

Jurugambar dari Taiwan merakam gambar Syukur bersama kerbau.
Jurugambar dari Taiwan merakam gambar Syukur bersama kerbau.

Alias berkata, sebelum ini Muhammad Syukur pernah menerima kunjungan dua jurugambar dari Taiwan dan Singapura serta seorang dari India.

“Ramai jurugambar yang datang untuk merakam gambar Syukur bersama kerbau termasuk jurugambar dari negara barat.

“Kalau diikutkan, lebih 100 jurugambar yang dah datang untuk rakam gambar Syukur lebih-lebih lagi selepas kemenangan gambar yang memaparkan aksi Syukur bersama kerbau ditularkan di media sosial,” katanya.

Alias berkata, walaupun jadual Syukur agak padat, pihaknya menerima kunjungan dari mana-mana jurugambar yang ingin merakam gambar Syukur, namun, perlu membuat temu janji terlebih dahulu.

“Kita sarankan buat temu janji dulu sebab bimbang Syukur tak ada di rumah. Biasanya, kalau hari persekolahan dia akan ke sekolah seperti biasa. Cuma, sekarang ni setiap hujung minggu banyak aktiviti dan program yang dah dirangka untuk dia.

“Kita bimbang juga kalau ada yang datang dari jauh, Syukur pula tak ada di rumah. Jadi, untuk mengelak pertindihan jadual, kita sarankan buat temu janji terlebih dahulu,” katanya.