Bantah jajaran LRT: AMK PP minta bertenang

Afni Yusuff
Afni Yusuff
A
A
A

GEORGETOWN - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang meminta pihak yang membantah cadangan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas di kawasan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar agar lebih tenang dan ikhlas dalam mencari penjelasan.

Ketua penerangannya, Afni Yusuff berkata, pihaknya berharap mereka yang terlibat lebih proaktif dalam mencari maklumat sahih dan tidak terburu-buru dalam membuat kenyataan.

Menurutnya, kenyataan dan kata-kata yang berbaur perkauman dan tuduhan tidak berasas kepada kerajaan negeri terutamanya Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dilihat tidak wajar.

"AMK Pulau Pinang berharap mereka yang terlibat menunggu penjelasan selanjutnya dari kerajaan negeri. Tambahan pula, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor telah mengesahkan bahawa cadangan jajaran itu belum muktamad.

"Janganlah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan tuduhan tidak berasas. Isu ini boleh diselesaikan dengan baik malah kerajaan negeri juga mengakui bahawa mereka menghormati dan akan mematuhi keputusan serta syarat yang ditetapkan kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)," katanya dalam satu kenyataan tadi.

Afni berkata demikian bagi mengulas satu klip video oleh salah seorang peserta bantahan di pekarangan Komtar berhubung isu cadangan jajaran LRT tersebut.

Dalam klip video berkenaan, individu tersebut didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan tuduhan tidak berasas kepada Ahmad Zakiyuddin.

Beliau berkata, pihaknya berharap individu tersebut berhenti menyebarkan maklumat yang tidak benar serta sentimen perkauman sebaliknya berusaha mencari penyelesaian dengan cara yang matang dan proaktif.

Artikel Berkaitan:

"Kami ingin mengingatkan warga Pulau Pinang atau mana-mana individu agar bersabar dan menghormati institusi fatwa supaya mereka dapat memberikan pencerahan yang sahih.

"Sehubungan itu, AMK Pulau Pinang memohon agar laporan polis dibuat berkaitan kenyataan sentimen perkauman di dalam klip video yang boleh menimbulkan suasana tidak tenteram," katanya.

Semalam, Kon Yeow mengesahkan bahawa jajaran LRT Bayan Lepas masih berada di peringkat kajian dan lawatan tapak di Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di sini hanya sebahagian daripada peninjauan awal.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang akan sentiasa menghormati setiap garis panduan hukum-hakam Islam dengan merujuk kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang sebelum membuat keputusan rasmi berhubung cadangan jajaran LRT tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mematuhi keputusan dan syarat yang tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan melalui APAD berhubung Skim Rel Kereta Api.