UMNO Kelantan belum terima saman SPRM

Datuk Mohamad Noordin Awang
Datuk Mohamad Noordin Awang
A
A
A

KOTA BHARU – Setiausaha UMNO Kelantan, Datuk Mohamad Noordin Awang mengesahkan pihaknya masih belum menerima apa-apa kenyataan ataupun saman berkaitan isu wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan UMNO Negeri ini.

Menurutnya, surat saman dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum diterima dan pihaknya hanya mengetahui mengenai saman tersebut melalui laporan media sahaja.

“Buat masa ini kami tidak menerima sebarang surat dan sebagainya. Kita tahu tentang perkara tersebut pun hanya melalui berita yang disiarkan media elektronik.

“Bagaimanapun, jika saman tersebut sampai, kita akan maklum dan majukan kepada Pengerusi dan Timbalan Pengerusi UMNO negeri untuk menentukan tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau ditemui di Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kubang Kerian di Dewan Perhubungan UMNO negeri di sini.

Kelmarin, SPRM telah membuat permohonan lucut harta terhadap 41 responden di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, permohonan itu melibatkan nilai RM270 juta daripada dana 1MDB.

Pihaknya telah mengenal pasti 41 sama ada individu atau entiti yang telah dijadikan responden dalam permohonan yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan bermula pada 25 Jun, 10 Julai, 24 Julai dan 31 Julai.

Artikel Berkaitan:

41 responden yang disenaraikan termasuklah daripada pihak-pihak berkaitan parti UMNO yang melibatkan nilai RM212 juta dan selebihnya adalah yayasan-yayasan, syarikat-syarikat dan sebagainya.