Kawal aktiviti perlombongan emas di Marang

Kawasan aktiviti perlombongan emas yang didedahkan Raja Kamarul Bahrin menerusi kenyataannya, kelmarin.
Kawasan aktiviti perlombongan emas yang didedahkan Raja Kamarul Bahrin menerusi kenyataannya, kelmarin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri perlu memberi perhatian terhadap aktiviti perlombongan emas di Marang bagi memastikan ia tidak memberi kesan kepada penduduk di kawasan sekitar.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ia perlu dikawal bagi memastikan segala peraturan dan piawaian dipatuhi.

“Kerajaan negeri wajar memberi perhatian terhadap aktiviti perlombongan emas di Marang sama ada yang berlesen ataupun tidak berlesen demi keselamatan dan kesihatan penduduk di sekitar kawasan itu.

“Keadaan di situ berbeza dengan perlombongan di Kelantan yang dibuka agak jauh dari kawasan penduduk. Kawasan perlombongan di Marang mempunyai banyak kampung tradisi yang berdekatan malahan aktiviti itu dilakukan berhampiran kediaman,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, aktiviti perlombongan itu telah menarik ramai pengusaha sejak negeri itu ditadbir kerajaan BN.

“Walaupun kurang mendapat tumpuan kebelakangan ini, aktiviti itu masih berjalan. Kita khuatir kesan aktiviti perlombongan itu terhadap kualiti air kerana terdapat penyakit yang boleh dikesan awal pendedahan dan penyakit seperti kanser yang memakan masa sebelum dapat dikesan,” katanya.

Beliau berkata, kajian antarabangsa menunjukkan apabila aktiviti perlombongan dijalankan dan kawasan yang diterokai terdedah kepada udara, hujan dan panas, bahan mineral yang terdedah akan menjadi tidak stabil dan mengeluarkan bahan kimia beracun ke dalam air dan udara.

“Air yang terdedah dengan pencemaran ini akan mengalir ke dalam alur dan sungai berdekatan dan juga akan meresap ke dalam tanah, memasuki sumber air perigi orang kampung tanpa kita sedari.

Artikel Berkaitan:

“Manakala, gas bertoksik dan debu kering yang dilepaskan ke udara pula akan ditiup oleh angin sehingga beberapa kilometer dari tempat operasi dan berpotensi mencemarkan udara dan memasuki saluran pernafasan manusia dan haiwan,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti perlombongan terutama emas adalah penyumbang terbesar bahan mineral merkuri kepada pencemaran alam sekitar berbanding jenis logam lain.

“Apa yang berlaku di Kuala Koh perlu diambil ikhtibar. Walaupun kenyataan rasmi sebahagian daripada mereka mati akibat penyakit yang menyerang sistem pernafasan, semua aspek perlu diberi perhatian.

"Aktiviti pemantauan serta kajian kesan daripada aktiviti perlombongan emas yang telah berjalan sejak sekian lama perlu dilakukan," katanya.