Dituduh terima dana 1MDB, Pas tuntut permohonan maaf terbuka

Khairil Nizam pada sidang media hari ini. FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

KUANTAN – Pemuda Pas menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Menteri Pakatan Harapan (PH) dan sesiapa sahaja yang sebelum ini pernah menuduh Pas menerima suntikan dana daripada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, pendedahan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) jelas membuktikan tidak ada satu nama atau individu yang berkait dengan Pas terlibat dalam pendakwaan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Asasnya ialah dalam senarai 41 itu tidak ada pun nama ataupun individu yang berkait dengan Pas. Jadi, kita ucapkan Alhamdulillah kerana Latheefa Koya memberitahu perkara yang sama seperti Datuk Seri Mohd Shukri Abdull bahawa Pas tidak menerima sebarang dana daripada 1MDB.

“Oleh itu, kami memohon kepada mana-mana individu termasuk menteri sekarang yang sebelum ini memfitnah Pas supaya mereka membuat kenyataan maaf secara terbuka kepada Pas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, segala bukti individu yang pernah memfitnah Pas menerima duit 1MDB boleh didapati di laman sosial, Youtube.

“Buat permohonan maaf secara terbuka, kalau ‘gentleman’ silakan, kalau menghormati rakyat silakan.

“Sebab ini perkara yang seringkali dimomokkan terhadap Pas sebelum PRU14 yang menyebabkan rata-rata rakyat agak termakan kepada dakwaan dan fitnah sedemikian,” desaknya.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mengumumkan SPRM membuat permohonan lucut harta terhadap 41 responden di bawah AMLATFPUAA melibatkan nilai RM270 juta daripada dana 1MDB.

“Kita telah mengenal pasti 41 sama ada individu atau entiti yang dijadikan responden dalam permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Jun, 10, 24 dan 31 Julai.

"Responden yang disenaraikan termasuklah pihak-pihak berkaitan parti UMNO yang melibatkan nilai RM212 juta dan selebihnya adalah yayasan dan syarikat,” katanya.

Beliau turut memberitahu, wang yang diterima responden itu datang daripada akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam pada itu, Pemuda Pas menyatakan kesediaan menerima Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam Pas dengan syarat beliau menghormati prinsip Islam yang diperjuangkan Pas.

“Kalau duduk dalam Muktamar Pemuda dan Muktamar Pas arah tetap sama asalkan menghormati prinsip Islam sesiapa saja boleh bersama dengan Pas,” jelas Khairil Nizam.