Tebus nilai Fayadh, Danel RM5 juta

Fazrul Danel (kiri) antara bakat yang telah diletakkan nilai tebus RM3 juta pada awal musim oleh KFA. - FOTO AHMAD ZAKI OSMAN
Fazrul Danel (kiri) antara bakat yang telah diletakkan nilai tebus RM3 juta pada awal musim oleh KFA. - FOTO AHMAD ZAKI OSMAN
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) bersetuju meletakkan harga tanda tebus nilai sebanyak RM5 juta masing-masing kepada dua pemain muda berbakatnya, Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin dan Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam.

Setiausaha Kehormatnya, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, pihaknya juga akan melanjutkan tempoh kontrak dari tiga kepada lima tahun untuk kedua-dua pemain yang memasuki usia 21 tahun itu.

Menurutnya, keputusan berkenaan dilakukan berdasarkan prestasi semasa kedua-dua pemain selaras dengan potensi dan juga bakat yang mereka miliki.

"KFA akan memuktamadkan perjanjian serta lanjutan kontrak ini sejurus selepas aksi Separuh Akhir Pertama Shopee Piala FA 2019 antara pasukan Kedah menentang Felda United di Stadium Darulaman pada 22 Jun (malam ini)," katanya dalam satu kenyataan, malam semalam.

Fayadh dilihat antara bakat baru yang semakin meningkat selepas Kedah kehilangan pemain sayap muda berbakatnya, Akhyar Rashid yang berhijrah ke JDT. - FOTO AHMAD ZAKI OSMAN
Fayadh dilihat antara bakat baru yang semakin meningkat selepas Kedah kehilangan pemain sayap muda berbakatnya, Akhyar Rashid yang berhijrah ke JDT. - FOTO AHMAD ZAKI OSMAN

Mohd Asmirul berkata, langkah tersebut sejajar dengan misi dan visi persatuan yang komited menjaga kebajikan serta bakat setiap pemain yang bernaung di bawah persatuan itu.

"Kami juga berusaha memastikan situasi menang-menang antara persatuan dan pemain jika pemain mendapat tawaran beraksi ke peringkat yang lebih tinggi kelak," katanya.

Sebelum ini, Mohammad Fayadh antara bakat Lang Merah berpontensi yang semakin menonjol dan menarik minat penyokong bolasepak tanah air melalui teknik serta keyakinannya dalam membantu pasukan di Liga Super 2019.

Artikel Berkaitan:

Fazrul Danel pula antara bakat yang telah diletakkan nilai tebus RM3 juta pada awal musim oleh KFA sebelum bakal dinaikkan nilainya kepada RM5 juta.