Ringgit dijangka kukuh minggu depan

Gambar hiasan
A
A

RINGGIT dijangka mengukuh minggu depan berikutan pelabur menunggu pemangkin baharu berhubung prospek positif pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping pada Sidang Kemuncak G20 minggu depan, kata seorang penganalisis.

Prospek pertemuan itu telah mencetuskan sentimen positif terhadap aset berisiko, kata penganalisis FXTM Han Tan.

"Ringgit mengukuh kira-kira 0.3 peratus berbanding dolar US minggu ini, berikutan mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) AS baru-baru ini membayangkan kemungkinan penurunan kadar faedah AS dalam beberapa bulan akan datang.

"Penyusutan dolar telah membantu Kumpulan 10 dan mata wang Asia terus mencatatkan kenaikan lebih baik, memandangkan kecenderungan Fed untuk melonggarkan dasar monetarinya telah melemahkan sokongan terhadap dolar US," katanya dalam nota.

Tan juga berkata pertemuan Trump-Xi yang ditunggu-tunggu dijangka menjadi pemangkin utama bagi sentimen risiko global pada minggu depan.

"Keputusan yang menguntungkan yang membawa dunia lebih dekat kepada penyelesaian konkrit dalam konflik perdagangan AS-China boleh mendorong aset berisiko mencatatkan peningkatan, termasuk ringgit," katanya.

Tan berkata pada minggu depan, paras sokongan jangka pendek ringgit akan berada pada 4.14, sementara kelemahan selanjutnya mungkin dapat dihentikan pada paras 4.17.

Pada asas Jumaat-Jumaat, ringgit mengukuh kepada 4.1480/1510 berbanding dolar US daripada 4.1650/1690.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0545 /0576 daripada 3.0457/0491 pada penutupan Jumaat lepas dan turun kepada 3.8568/8607 daripada 3.8490/8534 berbanding yen.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.6864/6915 daripada 4.6940/6989 sebelumnya dan berbanding pound, ia naik kepada 5.2505/2552 daripada 5.2691/2759. - Bernama