'Permohonan lucut hak 41 responden langkah tepat'

Jais Abdul Karim
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan lucut hak terhadap 41 responden di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 adalah langkah tepat untuk mendapatkan semula harta milik kerajaan yang telah disalahgunakan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, tindakan melucut hak bermakna harta responden yang disenarai yang diperoleh dari hasil rasuah akan dinyah milik jika didapati bersalah.

“Mereka akan hilang hak ke atas harta tersebut. Harta tersebut akan dikembalikan kepada kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM dedah 41 penama penerima wang 1MDB

“Implikasinya, 41 entiti tersebut akan menghadapi pertuduhan atas kesalahan penyucian wang haram,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, di bawah AMLA, terdapat dua cara bagi merampas semula balik wang negara iaitu sama ada penerima dituduh di mahkamah atau melalui afidavit tanpa pertuduhan.

“Bagaimanapun ia terpulang pada Peguam Negara untuk menentukan cara mana yang lebih sesuai,” katanya.

Beliau berkata, jika sejumlah 41 responden yang disenaraikan didapati bersalah, maka hukuman setimpal perlu diberikan dan sekiranya tidak bersalah, maka imej mereka perlu dibersihkan.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, permohonan itu melibatkan nilai RM270 juta daripada dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kita telah mengenal pasti 41 nama sama ada individu atau entiti yang telah dijadikan responden dalam permohonan yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan bermula pada 25 Jun, 10 Julai, 24 Julai dan 31 Julai.

“Seramai 41 responden yang disenaraikan termasuklah daripada pihak-pihak berkaitan parti UMNO yang melibatkan nilai RM212 juta dan selebihnya ialah yayasan, syarikat dan sebagainya,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat SPRM di sini semalam.

Beliau berkata, wang yang diterima responden itu datang daripada akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia