Harap MMC ditubuhkan menjelang akhir tahun ini

Hantaran di Facebook Gobind mengenai perjumpaan untuk menubuhkan MMC semalam.
Hantaran di Facebook Gobind mengenai perjumpaan untuk menubuhkan MMC semalam.
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berharap Majlis Media Malaysia (MMC) akan dapat ditubuhkan pada akhir tahun ini melalui Akta Parlimen.

Menurutnya, beliau telah meminta bahagian penggubalan undang-undang untuk menyediakan kertas awal dalam masa dua minggu dari sekarang.

“Selepas itu sebuah jawatankuasa awal (pro-tem) dianggotai ahli-ahli daripada media akan ditubuhkan untuk menyelesaikan perincian rang undang-undang selanjutnya.

“Seterusnya saya akan bertemu semula dengan semua pihak yang terlibat bagi membincangkan cadangan-cadangan muktamad. Saya harap kertas awal itu dapat dibentangkan di Parlimen dan Majlis Media dapat ditubuhkan pada akhir tahun ini,” kata Gobind menerusi Facebooknya.

Gobind berkata, keputusan penubuhan itu dicapai selepas perjumpaan kali pertama pihak kementerian bersama Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin, wakil organisasi media, kumpulan akademik dan pegawai Jabatan Peguam Negara yang diadakan di kementeriannya di sini.

“Seramai 12 kumpulan telah hadir ke mesyuarat tersebut yang berlangsung selama dua jam. Kami bersetuju bahawa MMC perlu ditubuhkan melalui Akta Parlimen dan sebuah rang undang-undang akan dirangka dengan memberi tumpuan kepada lima aspek utama.

“Aspek tersebut adalah matlamat dan fungsi MMC, perlembagaan dan keahliannya, kod etika, kaedah penyelesaian pertikaian serta peruntukan am yang perlu dimansuhkan atau dipinda apabila ia ditubuhkan,” katanya.

Artikel Berkaitan: