X

Kindly register in order to view this article
!

Kenapa SPRM terburu-buru?

A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mahu melucutkan hak 41 individu, kumpulan dan entiti tempatan kerana dipercayai terlibat dengan wang 1MDB sebagai terburu-buru.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, tindakan tersebut dilihat seperti mempunyai agenda tersendiri memandangkan kes melibatkan syarikat pelaburan itu belum lagi dibicarakan di mahkamah.

“Adalah lebih baik SPRM menumpukan usaha menyediakan dokumen dan bukti kukuh untuk pendakwaan kes sehingga dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, kemudian barulah keputusan lucut hak itu boleh dibuat atau sebaliknya jika tidak disabit kesalahan.

“Peguam Negara, Tommy Thomas juga petang tadi memaklumkan memohon kes pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan 1MDB dihadapi Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan berikutan perbicaraan membabitkan SRC International masih berlangsung," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut mempersoal mengapa Ketua Pesuruhjaya SPRM (Latheefa Koya) ini begitu terburu-buru mahu memfailkan permohonan melucut hak? Adakah beliau mendapat arahan dari peguam negara sendiri atau individu lain lebih berpengaruh?

"Kita juga mahu melihat tindakan lebih wajar serta bersesuaian dengan apa yang Latheefa janjikan iaitu mahu membersihkan nama Malaysia daripada rasuah.

“Beliau (Latheefa) maklum mahu membuka semula tujuh kes berprofil tinggi melibatkan rakan-rakan pimpinan PH beliau yang disenyapkan. Kertas siasatan dan pendakwaan perlu dibuka semula supaya amalan rasuah yang berlaku dalam perkara tersebut dapat diketahui umum,” katanya.

Menurutnya, walaupun dengan pelbagai janji dan kenyataan dikeluarkan, sehingga kini Pemuda Johor masih lagi menunggu dan belum melihat kewibawaan ketua agensi berkenaan dalam melaksanakan janjinya.

“Jangan hanya membuat siasatan dan pendakwaan terpilih sahaja terutamanya kepada UMNO. Yang anehnya, wang dirampas Pejabat Peguam Negara, polis dan SPRM milik UMNO tidak dipulangkan sebaliknya terus disimpan oleh mereka. Sebenarnya apa motif kerajaan menyimpan lebih lama duit parti ini?

“Pemuda UMNO negeri bertegas untuk beliau dapat menyiasat dan mendakwa kesemua individu lain yang turut terpalit kontroversi rasuah,” katanya.

Hari ini, media melaporkan Latheefa menfailkan 41 kes permohonan melucut hak melibatkan jumlah dana bernilai RM270 juta yang diterima daripada 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang turut melibatkan 41 individu dan entiti tempatan dalam transaksi berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM dedah 41 penama penerima wang 1MDB

Permohonan untuk lucut hak di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

Dalam pada itu, UMNO Johor dan BN Bahagian Johor Bahru antara nama entiti tempatan yang turut berada dalam senarai pelucutan hak kerana disyaki terlibat dengan pengaliran wang berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!