Abdul Fattah dipilih secara rasmi Presiden MOPDA

Abdul Fattah - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Abdul Fattah - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Abdul Fattah Abdullah hari ini menang tanpa bertanding bagi menduduki kerusi Presiden Persatuan Peniaga Kelapa Sawit Malaysia (MOPDA).

Beliau yang juga Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), dipilih sebulat suara oleh ahli Majlis Lembaga Pengarah MOPDA pada satu majlis persatuan itu yang berlangsung di Hotel Intercontinental di sini.

Menzahirkan rasa terharu, Abdul Fattah berkata, beliau komited untuk meneruskan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya.

"Saya berterima kasih kepada ahli jawatankuasa, mereka telah banyak memainkan peranan selama ini.

"Matlamat kita dengan adanya persatuan ini kita dapat terus membantu terutamanya ahli kita dalam meningkatkan mutu penghasilan minyak sawit yang lebih baik dari semasa ke semasa menerusi pelbagai program dan pendekatan," katanya pada sidang akhbar di sini.

Katanya, beliau kini dalam usaha untuk menggalakkan ahli MOPDA melaksanakan pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) yang bertujuan meningkatkan profil tanaman itu di pasaran global.

"Kita berusaha untuk pastikan ahli-ahli kita menerima sijil berkenaan menjelang 31 Disember 2019 ini," katanya.

Tambahnya lagi, ke arah itu MOPDA kini giat memastikan ahli menghasilkan buah sawit yang berkualiti tinggi bagi memenuhi standard antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Kita pastikan ahli membeli buah sawit berkualiti mengikut standard dan kita mengajar pekebun kita jangan potong buah muda," katanya.

MOPDA ditubuhkan pada 2010 bagi meningkatkan taraf peniaga sawit di negara ini, selain giat mempromosikan industri komoditi berkenaan di persada antarabangsa.