Lima saksi dipanggil siasatan kes tuntutan palsu RM720,000

Mohd Fauzi turut meraikan pelajar dari Maahad Tahfiz dan Akademik Bakip, Meru Raya yang hadir ke majlis tersebut, hari ini.
Mohd Fauzi turut meraikan pelajar dari Maahad Tahfiz dan Akademik Bakip, Meru Raya yang hadir ke majlis tersebut, hari ini.
A
A
A

IPOH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil lima saksi bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu RM720,000 yang membabitkan dua lelaki termasuk penjawat awam di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, salah seorang individu yang direman merupakan penolong jurutera sebuah jabatan kerajaan manakala seorang lagi adalah kontraktor.

"Kita akan panggil saksi-saksi memberikan keterangan bagi membuktikan kesalahan di bawah Seksyen 18A Akta SPRM 2009 dan sehingga kini dua individu tersebut masih dalam tahanan.

"Mereka direman selama enam hari sehingga 26 Jun ini sebelum dibebaskan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Tautan Mesra dan Jamuan Aidilfitri di lobi Bangunan SPRM Perak, Bandar Meru Raya, di sini hari ini.

Pada 19 Jun lalu, jurutera lelaki berusia 58 tahun serta kontraktor berusia 57 tahun itu direman selama enam hari selepas Majistret Nurul Hafizah Muhammad Pauzi mengeluarkan perintah itu di Mahkamah Majistret Ipoh.

Mengikut fakta kes, kedua-dua mereka ditahan bersama dua lagi pegawai jabatan tersebut masing-masing berusia 47 dan 49 tahun antara jam 7.20 hingga 8.20 malam di Pejabat SPRM Perak pada 18 Jun.

Mereka ditahan kerana dipercayai terlibat dengan tuntutan yang mengandungi butiran palsu bagi kerja-kerja baik pulih sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Perak Tengah.

Bagaimanapun, dua pegawai terlibat telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Fauzi meminta orang ramai serta penjawat awam tampil membuat laporan kepada SPRM jika ada pihak yang menawarkan rasuah kepada mereka.