MB hadir demi penyatuan Ummah

Wan Rosdy bertemu dengan perwakilan Pas di Kompleks Stadium Sukan Pahang di Indera Mahkota hari ini. – Foto Sinar Harian
Wan Rosdy bertemu dengan perwakilan Pas di Kompleks Stadium Sukan Pahang di Indera Mahkota hari ini. – Foto Sinar Harian
A
A
A

KUANTAN - Empat menteri besar negeri pembangkang hadir ke Muktamar Tahunan ke-65 atas dasar menyambut taawun siyasi yang dijalinkan antara UMNO dan Pas selepas PRU14.

Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia juga sebagai salah satu cara untuk memperkuatkan kerjasama antara kedua parti itu demi penyatuan Ummah.

Beliau bagaimanapun mengharapkan kerjasama politik yang dirancang dapat berjalan lancar.

“Insya-ALLAH kita akan beroleh kejayaan daripada yang kita ada pada hari ini,” katanya ketika ditemui di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di Indera Mahkota hari ini.

Mengulas lanjut mengenai ucapan dasar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Wan Rosdy berkata, secara menyeluruh ucapan Abdul Hadi bersabit dengan penyatuan ummah, Melayu dan Islam serta tidak meminggirkan kaum lain.

”Saya percaya mesej Presiden Pas (Abdul Hadi) berjaya disampaikan kepada semua perwakilan dan akar umbi,” katanya.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, penglibatan UMNO dalam acara tahunan Pas bagi menunjukkan kesungguhan dan keseriusan parti dalam kerjasama yang dibuat bersama Pas.

“Ini kali pertama di mana empat pemimpin pembangkang berada di atas pentas dan boleh dikatakan sebagai simbolik ke arah penyatuan ummah.

Artikel Berkaitan:

“Malah, kita dalam usaha untuk mencari satu alternatif terbaik bagi menggantikan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Bagi, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata,kehadiran pemimpin UMNO pada hari ini terbukti mereka menyabut ta'awun yang dijalinkan itu.

Katanya, ini bermakna kesedaran mereka begitu tinggi apabila dilihat kegagalan PH dan ada ancaman atau menyentuh tentang Islam serta orang Islam.

“Faktor-faktor ini mendorong kedatangan, mereka itu juga tidak boleh melihat perkara ini berlaku. Mereka bersama kita dengan Islam memimpin,”katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan tahniah kepada Pas kerana telah berjaya mengadakan Muktamar Tahunan Pas.

“Saya amat gembira melihat suasana tenang yang jelas menunjukkan bahawa politik Malaysia semakin lama semakin meriah.

“Negara memerlukan satu politik yang matang dan bukan yang menghentam tidak tentu arah,” katanya.

Beliau mengharapkan kerjasama Pas dan UMNO nanti membawa kepada hala tuju dan menjurus kepada menyeru kebaikan, perpaduan dan untuk membina negara.