Cucuk dada teman wanita dengan kayu

Razmi
Razmi
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Angkara cemburu, seorang lelaki warga Pakistan tergamak mencucuk dada teman wanitanya dengan kayu selain menampar pipi kekasihnya itu sehingga berdarah, dalam kejadian di Flat Sri Kolam, di sini, Ahad lalu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika mangsa yang berusia 21 tahun dari Johor Bahru sedang berehat di rumah sewanya dan didatangi suspek, 25, dalam keadaan marah-marah.

Menurut sumber, terkejut melihat keadaan suspek yang tidak terurus itu, mangsa sempat bertanyakan mengapa dia bersikap sedemikian sebelum lelaki itu menuduh mangsa curang dengannya.

"Suspek menuduh mangsa ada hubungan dengan lelaki lain di belakangnya sebelum berlaku pertengkaran mulut di antara pasangan kekasih itu.

"Gagal mengawal emosi amarahnya, suspek bertindak menampar pipi mangsa beberapa kali dengan kuat sehingga bibirnya pecah dan berdarah," katanya ketika dihubungi.

Jelas sumber, masih tidak berpuas hati, suspek memaksa mangsa ke rumahnya yang terletak di blok bersebelahan.

"Di rumah sewanya, mangsa ditolak sehingga jatuh dan suspek terus mengambil dua batang kayu sebelum bertindak memukul badan wanita itu bertubi-tubi.

"Tanpa mempedulikan tangisan mangsa kerana kesakitan, suspek bertindak lebih agresif dengan mencucuk dada mangsa menggunakan kayu berkenaan tanpa belas simpati," katanya.

Kata sumber lagi, meskipun dirayu agar tidak berbuat sedemikian, suspek semakin mengganas apabila tergamak menyepak kepala mangsa berkali-kali sehingga termuntah sebelum melarikan diri.
Artikel Berkaitan:


Kata sumber, akibat kejadian, mangsa mengalami lebam-lebam di badan selain sakit di seluruh badannya.

"Bimbang akan keselamatan diri, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian di Balai Polis Kuala Terengganu, di sini.

"Susulan laporan dibuat, suspek ditangkap pada Selasa lalu dan kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan," katanya.