X

Kindly register in order to view this article
!

Perang ekonomi China-AS beri kesan kepada operasi pelabuhan di Johor

Muhammad Razif (empat dari kiri) bergambar bersama pengetua sekolah-sekolah yang dipilih sebagai keluarga angkat LPJ pada majlis berkenaan semalam.
A
A

PASIR GUDANG - Perang ekonomi antara China dan Amerika Syarikat (AS) yang semakin memuncak kebelakangan ini diakui turut memberi kesan buruk terhadap sektor perdagangan dan pelabuhan di negeri ini.

Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ), Muhammad Razif Ahmad berkata, perkara itu mengambil contoh daripada sasaran operasi kontena unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) yang ditetapkan setiap tahun.

Menurutnya, untuk tahun ini, LPJ telah menetapkan sasaran sebanyak 10 juta TEU dicapai hasil operasi dua pelabuhan utama negeri iaitu Pelabuhan Johor (Johor Port) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

"Setiap tahun sasaran ditetapkan berubah dan kebiasaanya ia bertambah, tahun ini kita target 10 juta TEU kalau boleh lebih lagi. Ini penambahan daripada 9.9 juta TEU yang disasarkan tahun lalu.

"Ini juga adalah jumlah yang realistik ditetapkan jika dilihat daripada cabaran semasa. Cuma yang masih agak merisaukan ialah keadaan ekonomi semasa, seperti sedia maklum mengenai China dengan AS sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya LPJ 2019, di Bangunan LPJ semalam. Hadir sama, Pengerusi LPJ, Rosnan Fathlal.

Muhammad Razif berkata, walaupun begitu, pihaknya tetap yakin operasi perdagangan di negeri ini masih berjalan mengikut perancangan dan berada dalam kawalan baik.

"Cabaran itu ada, namun kita boleh simpulkan sekarang perdagangan di Johor ini berada di tahap baik, kita nampak import eksport ada bergerak. Boleh lihat PTP punya 'shipment' pun ada meningkat sedikit.

"Ada sedikit cabaran mungkin sebab PTP operasi utamanya memang shipment dan dagangan utama, kebanyakan sumbernya pula adalah dari China. Kalau bukan sebab ini, peningkatan kita dapat mungkin lebih tinggi tetapi yang pasti ia tidak menurun," katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, LPJ turut melancarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah LPJ Cares iaitu mengambil beberapa sekolah di bawah kawasan Pasir Gudang dan Gelang Patah sebagai keluarga angkat.

"Program ini menyasarkan sekolah-sekolah yang kurang cemerlang daripada segi akademik. Kita akan berikan bantuan untuk membolehkan sekolah ini meningkatkan kualiti pembelajaran mereka," katanya.