MB nasihat jangan panik kes pelajar muntah, sesak nafas

Sebahagian daripada murid yang menunjukkan simptom tersebut kini sedang mendapatkan rawatan.
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal menasihatkan warga Pasir Gudang agar tidak panik dan hanya mendengar maklumat yang sahih dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

"Kerajaan negeri telah mengarahkan Pegawai Daerah Johor Bahru selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bersama-sama jabatan yang berkaitan untuk menyiasat punca kejadian ini dan memastikan mereka yang terkesan akibat insiden ini mendapatkan rawatan segera.

"Keadaan di Sekolah Agama (SA) Taman Mawar Pasir Gudang adalah terkawal dan belum ada keperluan untuk membuka pusat pemindahan sementara di sana," katanya dalam satu kenyataan.

Sahruddin berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Johor Bahru bahawa semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menerima Iaporan kecemasan daripada orang awam pada jam 3.39 petang (semalam).

"Bertindak atas laporan, pasukan unit bahan berbahaya (Hazmat) telah tiba di lokasi pada jam 3.43 petang (semalam) untuk membuat siasatan punca gejala muntah-muntah tersebut.

"Punca insiden masih belum dapat dipastikan sama ada ia berkaitan keracunan gas atau keracunan makanan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 13 murid, 2 wanita muntah, sesak nafas

Dalam kejadian tersebut dilaporkan seramai 14 mangsa yang terdiri daripada 12 pelajar dan dua orang dewasa telah mendapatkan rawatan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.