Bunuh pembantu rumah: Hukuman penjara ke atas pasangan warga emas kekal

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 20 tahun terhadap pasangan warga emas yang disabitkan kesalahan kerana mengakibatkan kematian pembantu rumah mereka warga Indonesia pada 2011.

Panel lima hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah, dalam keputusan sebulat suara, menolak permohonan semakan semula yang dikemukakan oleh Fong Kong Meng dan isterinya, Teoh Ching Yen.

"Tiada merit dalam permohonan ini,” kata Hakim Wong.

Beliau berkata Mahkamah Persekutuan telah menilai semula keseluruhan keterangan dan menegaskan bahawa sabitan kesalahan ke atas pasangan itu seharusnya mengikut seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Fong, 63, bekas konsultan pendawaian, dan Teoh, 61, suri rumah, pada mulanya disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Isti Komariah, 26, di sebuah rumah di Jalan SS 2/6, Sea Park di Petaling Jaya, Selangor antara 14 Mei 2010, dan 5 Jun 2011.

Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Fong dan Teoh terselamat daripada tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan meminda pertuduhan bunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat mengikut seksyen 304 (a) dan menjatuhi hukuman penjara 20 tahun ke atas mereka.

Pasangan itu memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada 4 April dengan mendakwa hukuman penjara 20 tahun ke atas mereka mengikuti seksyen 304 (a) merupakan suatu kesilapan.

Artikel Berkaitan:

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mewakili pasangan itu, berhujah di Mahkamah Persekutuan pada 16 Mei bahawa hukuman itu sewajarnya mengikut seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan bukan menurut seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun.

Beliau berkata kes anak guamnya berada di bawah seksyen 304 (b) kerana mereka melakukan kesalahan itu tanpa sebarang niat untuk mengakibatkan kematian.

Sri Ram, yang dibantu peguam Hisyam Teh Poh Teik, berhujah bahawa pendakwaan telah berpegang kepada seksyen 300 (d) Kanun Keseksaan untuk membuktikan kes kerana membunuh, dan Mahkamah Tinggi turut berpegang pada seksyen sama ketika menjatuhi hukuman mati ke atas pasangan berkenaan.

Seksyen 300 (d) terpakai pada kes di mana tertuduh didapati tidak mempunyai niat untuk mengakibatkan kecederaan pada bahagian tertentu badan yang membawa kepada kematian.

Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi, berhujah bahawa hukuman penjara 20 tahun ke atas Fong dan Teoh adalah mengikut undang-undang.

Beliau berkata permohonan bagi semakan di bawah Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 hanya terpakai dalam keadaan khas serta luar biasa dan pasangan itu tidak memenuhi keperluan yang ditetapkan.

Pada 16 Mei lepas, panel hakim terdiri daripada Hakim Wong dan empat hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Mohd Zawawi Salleh, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta Datuk Nallini Pathmanathan menangguhkan keputusan mereka selepas selesai mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak.

Hari ini ditetapkan untuk keputusan. - Bernama