Penjadualan semula labu manis atasi kekurangan bekalan

Zainal Abidin (dua dari kiri) dan Fauzi (kiri) menunjukkan labu manis yang turut dijual di Agrobazaar Fama Chendering.
A
A

KUALA TERENGGANU - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) sedang melaksanakan program penjadualan semula penanaman labu manis bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan pada musim tengkujuh.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Fama, Zainal Abidin Yang Razalli berkata, masalah bekalan akan berlaku bermula November hingga Februari di dua negeri pengeluar utama labu manis iaitu Terengganu dan Kelantan.

“Terengganu antara tumpuan kita bagi projek penanaman labu manis ini memandangkan labu manis yang ditanam di Terengganu adalah antara yang terbaik kualitinya dalam negara ini.

“Namun, Pantai Timur terdedah kepada musim monsun (tengkujuh), menjadikan bekalan pada masa ini tidak konsisten. Disebabkan itu, Fama melaksanakan program penjadualan semula penanaman yang lebih terancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Agrobazaar Fama Chendering yang turut dihadiri Pengarah FAMA negeri, Fauzi Mohamed di sini hari ini.

Menurutnya, buat masa ini Fama memerlukan purata 300 metrik tan sebulan atau 3,600 metrik tan setahun bekalan labu manis.

“Sekarang ini walaupun Pantai Timur pengeluar utama labu manis tapi hanya dapat menampung kira-kira 30 peratus daripada bekalan. Jadi, kita akan buat secara terancang supaya pelanggan boleh mendapatkan bekalan labu manis hampir setiap masa,” katanya.

Zainal Abidin berkata bagi mengatasi masalah kekurangan itu, Fama mahu meningkatkan bilangan peserta ladang kontrak di Pantai Barat dan memilih labu manis sebagai tanaman utama mereka untuk menampung keperluan bekalan terutama pada musim tengkujuh.

"Kira-kira 100 peserta ladang kontrak dari Selangor, Melaka, Kedah dan Perak akan mula menanam labu manis pada Ogos ini dan hasil tuaian dijangka bermula pada November dan dijangkakan tambahan peserta akan dapat meningkatkan bekalan pengeluaran sehingga 60 peratus.

“Ini antara pelaburan agak baik yang akan kita ketengahkan. Cuma, bagaimana kita jadualkan dan bagaimana untuk mereka kekalkan kualitinya. Labu manis antara komoditi sayur-sayuran yang agak tahan dan daripada segi logistik ia sangat bersesuaian," katanya.

Menurutnya, jualan menguntungkan apabila harga dari Januari hingga sekarang kekal RM1.50 sekilogram malah tidak turun berbanding tahun lalu iaitu 90 sen sekilogram bagi tempoh yang sama.