MPM lelong lembu ditangkap berkeliaran

Penguatkuasa MPM menangkap dua ekor lembu berkeliaran dalam operasi Sabtu lalu.
Penguatkuasa MPM menangkap dua ekor lembu berkeliaran dalam operasi Sabtu lalu.
A
A
A

MANJUNG - Seekor lembu yang ditangkap Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dalam Operasi Tangkapan Lembu Merayau dibida enam individu dalam lelongan haiwan di sita, di sini hari ini.

Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, lembu berkenaan merupakan seekor daripada tiga ekor haiwan ternakan yang ditangkap MPM dalam operasi Sabtu lalu bermula jam 8 pagi hingga 6 petang di beberapa lokasi sekitar daerah ini.

"Seramai enam orang pembida hadir bagi membida lelongan lembu yang disita akibat kecuaian pemilik dan penternak yang tidak bertanggungjawab dalam penjagaan lembu milik mereka yang dibiarkan berkeliaran di kawasan awam.

"MPM menyita tiga ekor lembu tetapi hanya seekor sahaja dilelong kerana tidak dituntut pemiliknya, manakala dua ekor lagi sudah dituntut dan dikenakan bayaran kompaun merangkumi tanggungan kos operasi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lembu yang tidak dituntut dan dilelong.
Lembu yang tidak dituntut dan dilelong.

Menurut Syamsul Hazeman semua haiwan ternakan yang ditahan MPM dalam Operasi Tangkapan Lembu Merayau yang tidak dituntut pemilik melebihi tempoh tiga hari akan dilelong kepada orang ramai.

"Lelongan awam akan dilakukan diperkarangan pejabat MPM bermula daripada harga rezab melibatkan kos kompaun dan kos simpanan atau penjagaan berdasarkan Undang-Undang Pelesenan Haiwan Ternakan dan Haiwan Merayau (MPM) 2012 dan kos operasi.

"Saya juga ingin mengingatkan bahawa MPM akan mengadakan operasi tangkapan haiwan merayau ini secara berkala dari masa ke semasa dan skop operasi akan diperluaskan kepada haiwan lain seperti kambing serta biri-biri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Proses lelong lembu yang diadakan di pekarangan MPM hari ini.
Proses lelong lembu yang diadakan di pekarangan MPM hari ini.

Sehubungan itu, Syamsul Hazeman memohon kerjasama semua penternak supaya mengambil tindakan sewajarnya dengan memastikan haiwan ternakan tidak berkeliaran di kawasan awam.

Mengulas mengenai Operasi Tangkapan Lembu Merayau yang dijalankan Sabtu lalu, Syamsul Hazeman berkata, sebanyak tiga kawasan terlibat dalam operasi berkenaan iaitu sekitar Seri Manjung, Lumut dan Ayer Tawar.